fbpx
Nasional

Isu warganegara China: DAP P.Pinang buat laporan polis terhadap UMNO

DAP Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Datuk Omar Faudzar berhubung dakwaan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor itu yang menuduh DAP membawa masuk warganegara China untuk mengundi pada pilihan raya umum ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019, semalam.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Biro Undang-undang DAP Pulau Pinang R.S.N Rayer yang mewakili DAP negeri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jalan Patani di George Town.

Yang turut hadir wakil rakyat DAP Pulau Pinang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar Teh Lai Heng dan ADUN Batu Lancang Oh Ah Teong serta dua Ahli Majlis DAP.

Rayer berkata, Omar turut mendakwa DAP mengeluarkan kad pengenalan kepada warganegara China itu dengan tujuan untuk mendaftar mereka sebagai pengundi dalam pilihan raya umum.

“Ini adalah kenyataan yang semberono dan sungguh tidak bertanggungjawab, berunsur fitnah yang boleh membangkitkan kemarahan orang awam terutamanya warganegara Malaysia dan perwakilan UMNO terhadap parti DAP dan para pemimpin DAP. Kenyataan ini adalah tidak bertanggungjawab dan tidak benar sama sekali.


“Pihak DAP tidak pernah pada bila-bila masa melakukan perkara yang dituduh. Jadi, kami di sini memohon supaya pihak polis mengambil tindakan tegas dan saya juga mencabar beliau untuk membuat laporan polis dengan bukti-bukti yang ada sekiranya perkara ini benar,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Rayer, yang juga Ahli Parlimen Jelutong, berkata sekiranya tiada sebarang bukti, pihaknya menggesa Omar supaya berhenti daripada mengeluarkan dakwaan seumpama itu.

“Sekiranya apa yang didakwa oleh beliau adalah benar sepatutnya beliau membuat laporan polis dan meminta polis menyiasat tuduhan ini. Sekiranya tidak beliau sepatutnya diambil tindakan oleh pihak polis,” tambahnya.

Semalam, Omar ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Kuala Lumpur mendakwa DAP membawa masuk warganegara China dan mengeluarkan kad pengenalan kepada mereka dengan tujuan untuk mendaftar mereka sebagai pengundi dalam pilihan raya umum.

Omar turut mengaitkan Laporan Ketua Audit Negara 2018 yang mendedahkan sebanyak 95 peratus warganegara China dan India telah datang ke Malaysia, bagaimanapun tiada rekod mereka sudah meninggalkan negara ini. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button