fbpx
Politik

DAP mahu jadi rakan kongsi Warisan yang boleh dipercayai

DAP akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai kepada parti Warisan.

Ikrar itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pagi tadi yang menolak permohonan semakan kehakiman pembubaran DUN Sabah.

Guan Eng berkata, DAP akan menunggu cadangan daripada Pengerusi Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau yang baru-baru ini didakwa di mahkamah atas pertuduhan berkaitan rasuah mahu menjadikan PRN Sabah sebagai permulaan gerakan rakyat Sabah yang  menegakkan demokrasi dan integriti.

“DAP akan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum Sabah yang akan datang sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai kepada Warisan dan akan menunggu cadangan DAP Sabah serta pandangan daripada Shafie Apdal.


“Jadikan pilihan raya umum Sabah sebagai titik permulaan gerakan rakyat Sabah untuk menegakkan demokrasi, integriti, kemakmuran ekonomi, keadilan dan melindungi hak-hak orang Sabah,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas menteri ekonomi itu berkata, DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) bagi membincangkan PRN Sabah.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak permohonan 33 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim mendapati responden kedua dalam kes itu – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal – telah bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama – Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin – membubarkan DUN.

Kumpulan 33 ADUN itu diketuai oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang merupakan ADUN Sungai Sibuga

Sejurus selepas keputusan itu disampaikan, kesemua 33 ADUN terbabit memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

“Sabah adalah negeri pertama yang PN gagal merancang perubahan pemerintahan dengan membeli ahli politik katak.

“Ini adalah peluang yang baik untuk masa depan sebuah negeri ditentukan oleh kuasa rakyat dan bukannya politik wang,” kata Guan Eng.-SM

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button