Luar Negara

COVID-19: Lima pelajar Thai tiba dari Arab Saudi diuji positif

THAILAND mencatatkan lima kes baharu COVID-19, kesemuanya melibatkan pelajar lelaki warga Thailand yang pulang dari Arab Saudi, dan tiada kematian dilaporkan untuk tempoh 24 jam lepas, menjadikan 25 hari tanpa penularan tempatan di negara itu.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 3,146 kes COVID-19 dengan 58 kematian. Sebanyak 3,008 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital, sementara 80 masih menjalani rawatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CSSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kesemua lima pesakit COVID-19 tanpa gejala berusia antara 23 dan 26 tahun itu, tiba di Thailand pada 12 Jun dan menjalani kuarantin 14 hari di Bangkok.

“Sehingga kini, terdapat 15 daripada 195 penumpang dalam penerbangan itu diuji positif COVID-19,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini, hari ini.

Sementara itu Thaweesilp berkata, cadangan mengenai ‘travel bubbles’ akan dibentangkan dalam mesyuarat CCSA yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha minggu depan.


“Setakat ini, belum ada kata putus (mengenai cadangan travel bubbles)…ia masih lagi dibincangkan dari semua aspek oleh jawatankuasa kecil CCSA,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata ramai duta datang bertemu beliau untuk membincangkan mengenai cadangan travel bubbles, di samping menyekat penularan COVID-19 dalam negara itu.

“Orang ramai seharusnya tidak panik kerana pelancong luar negara belum dibenarkan masuk. Pelancong perniagaan dan golongan pakar akan tiba terlebih dahulu.

“Kami akan cuba memulakan travel bubbles ini pada bulan Julai,” katanya, seperti dipetik oleh Bangkok Post. – BERNAMA

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button