Luar Negara

Presiden Indonesia berbasikal santuni masyarakat tak pakai pelitup muka

SESOSOK tubuh lelaki memakai pelitup muka penuh, berhelmet, memakai t-shirt dan tights mengayuh basikal sambil memberi peringatan kepada masyarakat setempat agar memakai pelitup muka dalam keadaan pandemik Covid-19 masih berleluasa di Indonesia.

Lelaki berbasikal yang menggunakan pembesar suara untuk menyampaikan pesanannya agar semua memakai pelitup muka kerana hospital penuh dan tidak mampu lagi untuk menerima pesakit dipercayai Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.

Beliau turun padang tanpa dikenali oleh rakyat Indonesia khususnya di sebuah pasar di Semarang kerana wajahnya terlindung di sebalik pemakaian pelitup muka dan helmet bervisor.

Beliau turut menegur sekumpulan pemuda yang duduk menjamu selera tanpa menghiraukan penjarakan fizikal. Mereka ditegur kerana makan berhadap antara satu sama lain seolah-olah wabak Covid-19 tidak memberi kesan ke atas kesihatan mereka.

“Anda duduk bergerombol seperti ini, merbahaya. Jarak tidak sampai semester. Masker juga tidak pakai,” katanya memberi teguran dengan nada yang tegas ke arah sekumpulan pemuda berkenaan.

Beliau turut meminta agar sekumpulan pemuda memberikan toleransi dan kerjasama kerana usaha memutuskan rantaian Covid-19 memerlukan sokongan masyarakat.

Kunjungan lelaki misteri yang dipercayai Jokowi menyantuni masyarakat adalah satu tindakan proaktif yang dilakukan oleh pemimpin kerana mahu masyarakat mengambil serius keadaan Covid-19 yang menyerang tanpa mengenal mangsa.

Berulang kali beliau memaklumkan agar orang ramai memberi kerjasama menjaga diri dan kesihatan masing-masing kerana bukan sahaja keadaan hospital yang penuh sesak tetapi juga para petugas barisan hadapan turut dijangkiti Covid-19.

“Doktor juga dijangkiti Covid-19. Cara menyelamatkan paling balik ialah memakai masker. Rumah sakitnya penuh. Saya minta tolong, pakai masker,” katanya sambil menghulurkan pelitup muka kepada beberapa individu yang tidak memakai pelitup muka.

Ada peniaga wanita yang memberi alasan, pelitup mukanya tertinggal di rumah lantas lelaki misteri menghulurkan pelitup muka kepada wanita itu sambil berpesan:
“Selalu pakai masker. Pakai terus,” katanya.

Artikel ini dihasilkan berdasarkan sebuah rakaman video yang dikongsi berulang-ulang kali menerusi aplikasi WhatsApp.

Perkongsian rakaman video ini turut diperoleh SUARA MERDEKA dan ia boleh dijadikan contoh seorang pemimpin sanggup turun padang untuk mengingatkan orang ramai agar memakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, jangan duduk berkumpul dan yang paling penting, jaga kesihatan diri sendiri. – SM

(Visited 409 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button