Nasional

Langgar SOP, CIDB arah empat tapak pembinaan ditutup

 

Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) telah mengarahkan empat tapak pembinaan ditutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Dua tapak projek yang diarahkan tutup terletak di sekitar daerah Johor Bahru dalam operasi penguatkuasaan PKP 3.0 CIDB Johor.

Dalam operasi tersebut sebanyak 16 tapak telah dibina. Hasil pemeriksaan mendapati tujuh tapak tidak beroperasi sementara sembilan lagi beroperasi.

“Kedua-dua tapak bina yang menjalankan projek pembinaan untuk bangunan komersil tujuh tingkat didapati tidak patuh SOP telah diarahkan untuk menghentikan operasi dengan serta merta oleh pasukan Penguatkuasaan CIDB Johor kerana ketidakpatuhan terhadap senarai semak SOP MKN COVID-19, Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi sektor pembinaan,” katanya.

Antara kesalahan termasuk rumah penginapan pekerja yang disediakan tidak mendapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dua lagi tapak yang diarahkan tutup terletak di Beaufort dan Kinabatangan, Sabah selepas satu operasi penguatkuasaan PKP 3.0 CIDB Negeri Sabah telah dilakukan di sekitar negeri tersebut.

Sejumlah lapan tapak pembinaan diperiksa dalam operasi berkenaan dan mendapati enam tapak tidak beroperasi sementara dua tapak tidak patuh SOP.

Kedua-dua tapak tersebut telah diarahkan untuk menghentikan operasi serta merta kerana ketidakpatuhan terhadap senarai semak SOP MKN COVID-19 Akta 342 termasuk beroperasi tanpa kelulusan MITI.

Mereka turut melakukan kesalahan perakuan pendaftaran tamat tempoh, kerja yang dijalankan bukan kritikal, rumah penginapan pekerja yang disediakan tiada kelulusan JTK atau PBT.

Syarikat terbabit juga gagal mematuhi SOP KKM dan gagal mengisytihar projek kepada CIDB Malaysia.

Sejak PKP 3.0 dilaksanakan, sebanyak 2,678 tapak pembinaan telah diperiksa oleh CIDB. Daripada jumlah berkenaan sebanyak 511 (19%) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 2,167 (81%) tidak beroperasi.

Daripada 511 tapak yang beroperasi didapati 153 tapak pembinaan (30%) tidak mematuhi SOP, manakala 358 (70%) tapak lagi mematuhi SOP.

Kesemua 153 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan telah diarah tutup serta merta.

Bagaimanapun 11 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup telah pun dibenarkan dibuka semula, selepas mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.-SM

 

 

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button