fbpx
Uncategorized

Covid-19: KSN minta maaf tak jemput MB, KM pembangkang ke mesyuarat khas

KETUA Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd. Zuki Ali memohon maaf bagi pihak urusetia kerana tidak menjemput Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri pembangkang ke Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 17 Mac.

Menurut Mohd. Zuki, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telahpun mengarahkan agar semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir tanpa ada sebarang pengecualian.

“Sehubungan itu, saya bagi pihak urusetia mesyuarat ingin memohon maaf atas kekhilafan yang timbul berkaitan dengan jemputan yang hanya dikeluarkan kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri Kerajaan Negeri dari parti komponen Kerajaan Persekutuan.

“Bagi Negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, hanya Pengarah Pembangunan Negeri yang dijemput hadir,” jelas Mohd. Zuki.

Menurut beliau, Perdana Menteri memandang serius tentang isu tersebut dan menyatakan pendirian jelas untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira apa jua latar belakang parti politik.

Kerjasama itu penting khususnya berkaitan perkara yang menjadi kepentingan utama negara seperti wabak Coronavirus

“Dimaklumkan YAB Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan supaya semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir mesyuarat khas bagi menangani penularan COVID-19 pada masa akan datang,” kata Mohd. Zuki.

Pakatan Harapan (PH) hari ini meluahkan rasa kesal apabila beberapa ketua negeri tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas bagi menyelaraskan perintah kawalan pergerakan antara negeri yang dipengerusikan Muhyiddin.

Majlis Setiausaha PH berkata mereka dimaklumkan bahawa jemputan untuk mesyuarat tersebut tidak dipanjangkan kepada menteri besar di Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan serta ketua menteri di Sabah dan Pulau Pinang.

“PH merakamkan rasa kesal di atas tindakan Putrajaya tidak menjemput menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri ini.

“Jika ianya kerana mereka mentadbir kerajaan-kerajaan negeri yang tidak sehaluan dari segi politik dengan kerajaan persekutuan yang ada sekarang, maka tindakan kepartian sempit ini amatlah merugikan rakyat,” kata mereka dalam satu kenyataan.-SM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button