Uncategorized

Wartawan harus abadi

HARI ini, kami para wartawan berkumpul di Melaka kerana menyambut Hari Wartawan Nasional (Hawana).

Seronok bertemu rakan-rakan media yang lama terpisah dan memang sukar untuk bertemu kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan walaupun bertugas di satu pejabat.

Selain berkongsi perkembangan masing-masing dan organisasi media masing-masing, kami juga berbincang dan berkongsi pengalaman dalam menghadapi cabaran pada masa ini.

Ledakan media sosial dan revolusi perindustrian 4.0 telah meletakkan syarikat-syarikat media dalam keresahan kerana diancam kepupusan.

Hanya sebuah akhbar di Sabah iaitu Sabah Daily tidak terjejas teruk dek perubahan semasa, kerana kebolehhubungan internet di negeri di bawah bayu itu masih lagi tidak meluas.


Jadi akhbar masih lagi menjadi medium yang penting para penduduk di luar bandar mendapat maklumat dan perkembangan semasa.

Sedangkan di negeri-negeri lain akhbar berdepan dengan situasi getir untuk bersaing dengan media sosial yang menyebabkan media tradisional yang mengendalikan portal berita dan mencetak akhbar menjadi semakin tidak relevan.

Dalam forum diadakan sempena Hawana turut dibangkitkan bagaimana masyarakat bukan sahaja tidak membaca akhbar, bahkan portal berita sendiri, sebaliknya mereka lebih gemar membaca di media sosial.

Untuk mengimbangi perubahan kehendak masyarakat media terpaksa melebihkan bahan berbentuk video yang menjadi minat orang ramai. Bermakna masyarakat tidak gemar untuk membaca berita tetapi lebih gemar mendengar berita dibacakan untuk mereka.

Pada penghujung sambutan Hawana yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju untuk mewujudkan Persatuan Wartawan Malaysia (PWM) bagi menjadi satu gabungan kepada pelbagai persatuan wartawan dan seterusnya menjadi satu suara wakil mewakili kira-kira 6,000 wartawan di seluruh negara untuk berhadapan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan bagi memastikan industri media terus hidup.

Di negara-negara maju syarikat-syarikat korporat dikenakan levi dan levi berkenaan disalurkan kepada pihak media bagi memastikan syarikat media tidak gulung tikar.

Ini menunjukkan betapa pentingnya media di dalam pembangunan sebuah negara khususnya dalam menyampaikan maklumat benar dan berintegriti serta menyebar dasar-dasar kerajaan.

Namun pada masa yang sama kerajaan tidak boleh mengongkong pihak media dengan pelbagai tindakan undang-undang kerana akhirnya ia akan menyebabkan masyarakat hilang keyakinan kepada kerajaan dan media itu sendiri.

Apabila media mula dipaksa menyokong pemimpin atau pihak tertentu di dalam politik ia akan membunuh integriti dan akan dihukum oleh pembaca dan masyarakat.

Defisit keyakinan ini menyebabkan masyarakat tidak lagi berminat untuk mendapatkan maklumat daripada media massa, tetapi mereka akan beralih kepada media sosial.

Media sosial pula yang penuh dengan bahan dihasilkan oleh sesiapa sahaja tanpa dilandaskan rasa tanggungjawab terhadap negara, akan menjejaskan pemikiran rakyat dan akhirnya melemahkan patriotisme dan jatidiri sesebuah bangsa negara.

Dewasa ini sudah ramai wartawan yang menggantung pena, dan beralih ke kerjaya lain, bahkan di universiti kursus kewartawan bukanlah satu bidang yang digemari kerana ia tidak menjanjikan masa hadapan yang boleh diharapkan.

Wartawan secara keseluruhan bukan dalam kalangan mereka yang mengejar kekayaan, tetapi lebih kepada minat dengan dunia penulisan. Bagaimanapun apabila mereka dibuang kerja akibat syarikat media gulung tikar atau mengurangkan kakitangan, minta itu menjadi luntur membuatkan mereka beralih ke bidang lebih menenangkan serta memberi pulangan lumayan seperti pertanian dan perniagaan lain.

Diharap dengan inisiatif diambil oleh pihak kerajaan dan persatuan serta agensi dan syarikat berhubung media bagi menyelamatkan industri ini daripada pupus ia akan menyemarakkan kembali media dan memeriahkan kembali semangat anak-anak muda serta mereka yang mempunyai tahap pemikiran luas serta tinggi menyertai bidang ini.

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button