Uncategorized

Kes 1MDB dikendali macam kedai kopi Cina Jalan Petaling

Pihak pendakwaan menyifatkan urusan korporat 1MDB seperti “dikendalikan seperti kedai kopi Cina di Jalan Petaling”.

Timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram membuat perbandingan itu hari ini, ketika menyuarakan bantahan terhadap soalan-soalan yang diutarakan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed terhadap seorang saksi pendakwaan, yang didakwanya sebagai “tidak relevan”.

Wan Aizuddin memeriksa balas bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman dalam perbicaraan kes rasuah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Wan Aizuddin antara lain bertanya Hazem berkenaan penggunaan pinjaman AS$975 juta oleh 1MDB untuk membeli semula saham syarikat itu daripada Aabar Investments PJS Limited, salah satu entiti antarabangsa yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Kami setuju…bahawa hal ehwal 1MDB dikendalikan lebih seperti kedai kopi Cina di Jalan Petaling.

“Kami katakan yang mereka ini (antaranya sejumlah pegawai 1MDB) bertindak atas arahan Jho Low, yang merupakan alter ego dan cerminan kepada tertuduh (Najib), dan kedua-duanya bertindak secara bersama.

“Kami setuju untuk bertoleransi dengan soalan-soalan ini dan ia sama sekali tidak relevan dengan hujah kami,” kata Sri Ram kepada hakim Collin Lawrence Sequerah.

 

Wan Aizuddin kemudian memberitahu mahkamah yang soalan yang diutarakan pihak pembelaan dalam pemeriksaan balas adalah untuk menunjukkan salah laku dalam 1MDB adalah berpunca daripada komplot Jho Low dan tanpa penglibatan Najib.

“Mereka (pendakwaan) ada hujah mereka, tetapi kami ada hujah kami. Kami katakan ada salah urus (dalam 1MDB), tetapi ia dilakukan oleh Jho Low dan tidak melibatkan anak guam kami,” katanya.

Wan Aizuddin berkata, soalan dalam pemeriksaan balas itu wajar memandangkan Hazem didakwa sering terlupa ketika disoal dalam perbicaraan.

Sequerah kemudian mengingatkan peguam itu yang saksi mungkin tidak dapat mengingat semula banyak perincian berhubung peristiwa-peristiwa tertentu memandangkan ia berlaku beberapa tahun lalu, dan meminta pihak pembelaan agar memendekkan soalan.

Perbicaraan bersambung tengah hari ini.

Pinjaman penyambung dan pinjaman facility

Ketika penyataan pembukaan pendakwaan di peringkat awal perbicaraan dua tahun lalu, tertuduh dikatakan meluluskan subsidiari 1MDB, iaitu 1MDB Energy Holdings Litd untuk mendapatkan dua pinjaman berjumlah US$1.225 bilion daripada Bank Deutsche Singapura.

Pinjaman itu didakwa diperolehi menerusi jaminan daripada 1MDB Energy dan 1MDB Langat.

Pendakwaan mengatakan ia merupakan pinjaman penyambung (bridging loan) berjumlah AS$250 juta dan pinjaman facility berjumlah AS$975 juta. Pinjaman yang pertama didakwa diperolehi pada 26 Mei 2014.

Daripada jumlah itu, sebanyak AS$239,939,970 didakwa dimasukkan ke akaun 1MDB Energy Holdings Ltd di Falcon Bank Hong Kong pada 28 Mei 2014. Daripada jumlah itu, 1MDB Energy Holdings Ltd didakwa membayar Aabar Investments PJS Ltd BVI sebanyak AS$175 juta ke dalam akaun entiti itu di BSI Lugano, Switzerland, dikatakan untuk menebus sebahagian pegangan (option) yang diberi sebagai sekuriti tambahan, seperti yang disebut sebelum ini.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan kekal mengatakan Najib tidak tahu berkenaan salah laku dalam 1MDB dan apa yang berlaku adalah komplot Jho Low dan beberapa individu lain.

Najib dihadapkan dengan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Ia didakwa berlaku ketika dia menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button