Uncategorized

Anak tergamak tikam ibu hingga mati gara-gara terdengar bisikan

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 5 Julai – Gara-gara terdengar bisikan mengatakan ibunya menyembah berhala menjadi punca seorang anak tergamak menikam leher ibu kandungnya sehingga mati di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.00 petang menggemparkan penduduk di kampung berkenaan apabila mangsa, Rozizah Md. Dom, 63, meninggal dunia di tempat kejadian dengan dua kesan tikaman di kiri dan kanan leher oleh anaknya yang berusia 38 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod kesihatan mental dan mengaku telah menikam ibunya yang ketika itu berada di bilik tidur.

Menurutnya, suspek dipercayai telah menikam ibunya yang juga seorang ibu tunggal dengan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter sejurus mendengar bisikan tersebut.


“Suspek merupakan anak sulung dikatakan masuk ke bilik ibunya yang baharu selesai mandi lalu terus menikam di leher mangsa tanpa belas kasihan.

“Anak mangsa pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Melaka sejak empat tahun lalu termasuk juga mempunyai rekod penyalahgunaan dadah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Terdahulu suspek berjaya ditangkap penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak polis.

Menurut Zainol lagi, suspek yang pernah berkahwin sekadar mendiamkan diri sewaktu ditahan polis selepas kejadian itu.

Katanya, polis turut menyiasat sama ada suspek anak sulung daripada lima beradik itu melakukan perbuatan tersebut terhadap ibu kandungnya di bawah pengaruh dadah.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Melaka esok.

(Visited 55 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button