NasionalNegeri

125 kenderaan diguna warga asing disita JPJ

SEBANYAK 125 kenderaan disalahguna dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) telah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam operasi selama sebulan sempena Tahun Baru Cina berakhir malam tadi.

Dalam operasi bermula pada 1 hingga 27 Februari lalu sebanyak 100 motosikal, 21 kereta dan empat lori perdagangan telah disita oleh JPJ.

Pengarahnya, Mohd. Firdaus Shariff berkata, kesemua kenderaan terbabit didapati hanya memiliki lesen persendirian tetapi disalahguna bagi tujuan perniagaan tanpa Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL).

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan ke atas warga asing membabit tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL), GDL, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada insuran dan salah guna LKM dijadikan kenderaan perkhidmatan barangan.

Beliau berkata, seramai 101 warga asing yang kenderaan mereka disita terdiri daripada 27 warga Indonesia, Myanmar (23), Rohingya (23), Pakistan (22) dan India (6).

“Salah guna LKM ini berkaitan dengan penggunaan kenderaan persendirian bagi tujuan komersial.

“Kita dapati penggunaan kenderaan seperti motosikal dijadikan roda tiga dan juga kereta dijadikan kenderaan mengangkut barangan seperti mesin rumput dan sebagainya.

“Hasil siasatan kita dapati sebahagian kenderaan itu adalah milik persendirian dan disewa daripada penduduk juga tidak mempunyai perlindungan insuran,” ujarnya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu sempena Tahun Baru Cina di Jambatan Sultan Abdul Aziz, di sini malam tadi.

Operasi tersebut melibatkan 55 pegawai dan anggota bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Mohd. Firdaus berkata, tindakan warga asing menggunakan kenderaan tanpa GDL disifatkan sebagai merugikan hasil negara.

Jelasnya, tindakan menyita kenderaan terbabit diambil di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 14,791 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi yang dijalankan sempena Tahun Baharu Cina sejak 1 Februari lalu.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 2,226 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Dalam operasi malam tadi, empat pemandu kenderaan berusia antara 30 hingga 40-an dikesan positif dadah syabu dan ganja. – SM

BACA JPJ sita lori seludup minyak diesel bersubsidi

(Visited 39 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button