Nasional

Pendidikan pelajar OKU tidak akan dipinggirkan

KERAJAAN tidak akan meminggirkan pelajar orang kurang upaya (OKU) dan guru pendidikan khas di negara ini daripada arus pendidikan nasional.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menerima kunjungan hormat Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Putrajaya semalam.

Ras Adiba kemudian dipetik berkata, beliau amat berpuas hati dengan jaminan pelajar dan guru pendidikan khas akan diberi perhatian sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Alhamdulillah menteri (Fadhlina) berbesar hati menerima kunjungan saya untuk mendengar beberapa cadangan berkaitan komuniti OKU.

“Beliau mengalu-alukan kunjungan ini dan akan sentiasa mengikuti perkembangan OKU,” kata Ras Adiba yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral.

Menurut Ras Adiba, beberapa isu dibincangkan dalam kunjungan itu yang antara lain adalah mengenai pembinaan Sekolah Sukan OKU, menambah baik fasiliti di sekolah pendidikan khas, menambah bilangan ahli terapi cara kerja dan ahli terapi pertuturan di KPM.

Beliau turut menyatakan keyakinan peribadi bahawa Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu mampu melaksanakan pelbagai pendekatan serta inisiatif terhadap pendidikan OKU di negara ini.

“Saya lihat banyak yang dilakukan untuk perkasa pelajar termasuk golongan OKU dan tenaga pengajar di sekolah pendidikan khas,” katanya.

Fadhlina yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Disember lepas telah mengadakan lawatan ke institusi pendidikan OKU seperti Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy di Johor. – SM

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button