JenayahNasionalNegeri

Balu warga emas ditipu macau scam RM143,200

SEORANG balu berusia 65 tahun yang tinggal sendirian menjadi mangsa terbaharu macau scam di Kangar, Perlis. Wang simpanannya berjumlah RM143,200 lesap begitu sahaja akibat panik dengan penipuan macau scam.

Segalanya bermula dengan panggilan telefon yang menjadi modus operandi macau scam sebagai teknik memperdaya setiap mangsanya.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop setelah mangsa membuat laporan pada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah itu, semalam.

Dalam laporan ini katanya, mangsa pertama kali menerima panggilan dari macau scam menyamar sebagai “pegawai kurier J&T” yang menggunakan nombor talian 0149995942 pada pukul 2 petang, 5 September lalu.

“Penyamar ini mengatakan ada bungkusan atas nama mangsa yang mengandungi barang terlarang,” kata Yusharifuddin.

Katanya, suspek meneruskan lagi “drama” dengan menggatakan mangsa perlu membuat laporan polis.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang merupakan pesara pekerja swasta ini memberitahu suspek dia tidak dapat ke balai polis kerana tinggal seorang diri di rumah.

“Suspek menggunakan kesempatan ini dengan menyambungkan panggilan kepada “Pegawai Polis Kedah”,” katanya.

Yusharifuddin berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa melapor dirinya menerusi aplikasi whatsapp ke nombor 0173385220 setiap hari mulai 5 hingga 12 September lalu.

“Suspek juga meminta maklumat akaun Bank Islam berserta nombor kad ATM dan Akaun Simpanan Tabung Haji milik mangsa bagi tujuan siasatan,” katanya.

Katanya, mangsa juga telah menyerahkan nombor kod perbankan yang diterima daripada pihak bank kepada suspek.

“Selepas itu berlaku lapan kali transaksi ke akaun suspek dari akaun Bank Islam dan Tabung Haji milik mangsa,” katanya.

Dalam tempoh itu, katanya, suspek mempengaruhi mangsa dan meminta supaya merahsiakan perkara itu daripada sesiapapun sehingga kes selesai.

Berikutan itu, Yusharifuddin berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.

Katanya, pihak polis akan mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan suspek untuk transaksi  pengeluaran wang tersebut. – SM

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button