BeritaNasionalNegeriPendidikan

BOND21 2022: 70 Kertas saintifik diterima

Ismarul Nizam mewakili Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI berucap merasmikan Persidangan BOND21 2022.

SEBANYAK 70 kertas saintifik dari pelbagai universiti dalam dan luar negara diterima bagi “The 2022 Joint International Conference On Nanoscience & Nanoengineering” (BOND21) anjuran Institut Kejuruteraan Nanoelektronik (INEE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Persidangan selama dua hari itu turut mendapat kerjasama Universiti Institut Pertanian Bogor (IPB) Indonesia, Universiti AIMST, University of Technology (UoT) Iraq dan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) Kementerian Sains Teknologi & Inovasi (MOSTI) dengan UoT adalah penyumbang terbesar kertas saintifik kali ini.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, BOND21 2022 merupakan satu platform kepada penyelidik untuk bertukar idea, berkongsi maklumat, meningkatkan pengetahuan mengenai nano sains & nano kejuruteraan, iaitu satu kajian struktur dan bahan pada skala nanometer manakala nano kejuruteraan ialah amalan kejuruteraan pada skala nano.

Ujarnya, penyepaduan nano sains dan nano kejuruteraan mewujudkan nilai yang merupakan laluan yang amat diperlukan untuk kemajuan masyarakat, negara dan tamadun.

“Tema untuk persidangan 2022 dipilih sebagai “Nanosains dan Nanoengineering untuk Pertumbuhan dan Kelestarian Negara” di mana para saintis dan jurutera dari pelbagai disiplin termasuk fizik, kimia, biologi, sains bahan menggunakan prinsip nanosains untuk aplikasi lanjutan dalam tenaga, elektronik, perubatan, teknologi maklumat, pengkomputeran dan lain-lain,” katanya ketika berucap pada majlis BOND21 2022 di sini, semalam.

Hadir sama wakil Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Ismarul Nizam Ismail, Kaunselor Kebudayaan (Malaysia, China, dan Asia Selatan) Kedutaan Republik Iraq Prof. Madya Dr Ahlam Neamah Lafta, delegasi Universiti Institut Pertanian Bogor (IPB) Indonesia diketuai Prof. Dr. Tony Ibnu Sumaryada, Penasihat Akademik Kedutaan Republik Iraq mewakili Universiti Teknologi, Iraq (UoT) Dr Salah Mahdi dan Pengarah Institut Kejuruteraan Nano Elektrik (INEE) UniMAP Prof Madya Ts Dr Muhammad Mahyiddin Ramli.

Tambah beliau, UniMAP juga berbesar hati di atas sokongan MOSTI yang meluluskan peruntukan bagi merealisasikan BOND21 tambahan dalam situasi pasca pandemik COVID 19 sebelum ini yang memerlukan kos yang tinggi bagi menganjurkan persidangan.

“Sokongan daripada MOSTI sendiri diharapkan dapat menyuntik semangat INEE UniMAP untuk menganjurkan BOND21 ini setiap dua tahun sekali seperti perancangan asal,” katanya.

Terdahulu, Ismarul Nizam dalam ucapan perasmian BOND21 berkata, MOSTI sentiasa mengalu-alukan kerjasama bagi menganjurkan program seperti BOND21 yang menghimpunkan pakar nanoteknologi dari dalam dan luar negara.

“Adalah diharapkan pencapaian dan input yang dihasilkan sepanjang BOND21 tahun ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua peserta terutamanya penyelidik dan peneraju inovasi nanoteknologi dalam kalangan generasi muda,” katanya. – SM

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button