Nasionalpilihan

Potong gaji menteri tidak bantu tangani kenaikan kos sara hidup

CADANGAN supaya gaji Menteri Kabinet dipotong sebanyak 20 peratus oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, tidak akan menyelesaikan kenaikan kos sara hidup rakyat.

Sebaliknya Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia memerlukan cadangan dan alternatif lain yang lebih efisien.

“Perkataan potong gaji ini seolah-olah berada dalam Dewan Rakyat, ia selalu diusulkan oleh pembangkang, bagi saya cadangan beliau bukan jalan penyelesaian untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kita tidak tahu apa maksud sebenar Rafidah mengenai potong gaji itu, adakah beliau benar-benar maksudkan atau hanya perli, beliau orang lama sepatutnya boleh beri idea yang lebih baik.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tualak, Padang Terap semalam.


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tualak, Padang Terap semalam. Foto: UKK KPLB

Jelas Mahdzir, kerajaan ketika ini sentiasa berusaha untuk membantu rakyat dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini.

“Sekarang ini ada pelbagai usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pasukan dalam Kabinet khususnya bagi menteri-menteri yang terbabit secara langsung dengan ekonomi dan harga barang seperti kementerian kewangan, ekonomi, perdagangan, pertanian dan kerja raya.

Mereka ini akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal yang berbangkit dan memberi jalan penyelesaian seperti yang diumumkan Perdana Menteri mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam tidak akan diapungkan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid mengambil kesempatan berswafoto dengan ahli Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tualak, Padang Terap semalam. Foto: UKK KPLB

Sehingga kini pun kerajaan masih memberi subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini adalah antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat.”

Rafidah pada hari Jumaat dilapor mencadangkan pemotongan gaji menteri bagi menunjukkan empati terhadap negara ketika rakyat bergelut dengan krisis ekonomi akibat COVID-19 dan krisis Russia-Ukraine.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata sebagai bekas menteri, Rafidah perlu memberikan idea yang lebih baik dan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengetengahkan idea beliau. – SM

(Visited 76 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button