Nasionalpilihan

Bolot projek kementerian berjumlah RM135 juta, pegawai perolehan ditahan

SEORANG Pegawai bahagian perolehan di sebuah kementerian ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.

Menurut sumber, kes ini merupakan susulan siasatan yang dilakukan terhadap penolong setiausaha bahagian kementerian itu dan pemilik-pemilik serta pengurus syarikat yang telah ditahan sejak 21 Jun lalu.

“Hasil siasatan ini telah berjaya membongkar kegiatan sindiket ini yang dipercayai telah membolot 22 projek berjumlah RM135 juta di kementerian tersebut sejak 2017 hingga kini. Ini termasuk projek berkaitan penahanan suspek hari ini.

“Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek tersebut,” katanya.

Jelas sumber, bagi projek bernilai kira-kira RM2.6 juta tersebut, ia merupakan projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi penguatkuasa.


Ujarnya, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas SPRM membuat permohonan berkenaan pagi tadi.

Pada 21 Jun lalu, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin telah direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin di agensi penguatkuasa sama yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Susulan itu, seorang penolong setiausaha bahagian kementerian telah ditahan pada keesokan harinya dan diikuti penahanan seorang pengurus syarikat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button