Nasional

Kes dadah: Polis lepaskan tembakan sebelum tahan suspek

POLIS terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dalam usaha untuk menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat kes dadah di tepi Jalan Sentul, Kuala Lumpur petang tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.52 petang ketika sepasukan polis menahan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu suspek.

“Ketika hendak ditahan, suspek telah bertindak agresif dengan mengundurkan keretanya sebanyak tiga kali dan merempuh kereta polis yang tidak berlambang serta cuba melanggar anggota polis.

“Susulan tindakan suspek memaksa kita melepaskan beberapa das tembakan di bahagian tayar belakang sebelah kanan dan tayar hadapan keretanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mazlan, tindakan melepaskan tembakan itu bertujuan untuk mempertahankan diri serta melindungi orang awam daripada tindakan berbahaya suspek.

BACA> Tujuh termasuk seorang remaja 14 tahun terlibat kes curi motosikal

Jelasnya, suspek bagaimanapun masih lagi cuba melarikan diri dengan memandu naik ke atas tebing jalan.

“Kita terpaksa melepaskan tembakan pada tayar hadapan sebelah kiri kereta tersebut sebelum berjaya menahan suspek

“Tiada kecederaan berlaku kepada suspek dan hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaannya menemukan dadah jenis heroin (450gram) serta syabu (151gram) di bawah kerusi penumpang bahagian hadapan,” ujarnya.

Menurut Mazlan, suspek berusia 38 tahun itu bekerja sebagai pembantu kedai runcit dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya lagi, ujian air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan THC.

BACA> Kerajaan Selangor sedia bantu peniaga di Sungai Buloh

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana–mana Balai Polis berdekatan. -SM

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button