fbpx
Politik

Bersatu masuk MN: Peluang menang PRU-15 lebih cerah

MUAFAKAT Nasional (MN) disifatkan mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti menerusi pengukuhan gabungan itu

Hal demikian susulan pengesahan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyddin Yassin untuk membawa partinya menyertai gabungan UMNO dan Pas.

Langkah pengukuhan MN itu juga disifatkan sebagai mendukung gabungan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN).

Justeru, Pas dikatakan bersetuju dan mengalu-alukan penyertaan Bersatu dalam MN yang dihadap akan memperkukuhkan penyatuan ummah.

“PAS juga yakin penyertaan Bersatu akan memberi peluang yang lebih besar untuk menempa kejayaan dalam PRU Ke-15 yang akan datang.”


BACA > 19 bekas wakil rakyat PKR terima surat tuntutan RM10 juta – Suara Merdeka

Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilaporkan portal HarakahDaily hari ini.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air itu, pengukuhan penyatuan ummah diutamakan dengan meletak Islam dan keikhlasan sebagai asas kepada penyatuan tersebut.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri memaklumkan penyertaan Bersatu bersama MN akan memastikan sokongan besar rakyat kepada gabungan itu.

Malah, beliau juga berharap penyertaan ini akan mengembalikan kestabilan politik selain dapat memberi manfaat menerusi limpahan ekonomi kepada rakyat.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, Umno, Pas (MN) dan parti-parti lain dalam Kerajaan PN, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita.

“Insya-Allah, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara.

BACA > Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional telah disepakati secara prinsip – Suara Merdeka

“Ini pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Tambahnya, kepimpinan parti seperti UMNO, Pas, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Bersatu Rakyat Sabah bersetuju untuk mengukuhkan kedudukan dalam PN.

Katanya, beliau kerap mengadakan pertemuan dengan kepimpinan parti berkenaan yang membentuk Kerajaan PN. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button