fbpx
Politik

Bersatu jangan hanya mahu selamatkan tengkuk sendiri – Nur Jazlan

Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak menolak kemungkinan kemenangan UMNO dalam pilihan raya kecil DUN Chini Sabtu ini memberikan tekanan kepada Bersatu dalam rundingan pengagihan kerusi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ia kerana, tegas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu, peringkat akar umbi tidak akan memberikan ruang kepada Bersatu bertanding di kerusi di mana mereka bergantung sepenuhnya kepada UMNO.

Malah, beliau yakin persediaan gabungan Perikatan Nasional (PN) menuju pilihanraya juga dijangka mendapat loncatan apabila UMNO yang juga parti induknya dijangka memenangi kerusi Chini dengan mudah.

“Persoalannya, adakah Bersatu yang serba lemah pengurusan dan sokongan akar umbi ini akan mewaraskan pemikiran mereka dan berkorban diri untuk mendukung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri?

“Bukankah matlamat akhir pemimpin Bersatu ini untuk menyertai UMNO selepas PRU-15 atas nama kepentingan perpaduan Melayu.


“Inilah masa untuk cakap serupa bikin, ketepikan kepentingan diri sendiri dan berkorban untuk kepentingan Melayu dan negara,” kata beliau kepada Suara Merdeka hari ini.

Nur Jazlan

Mengenai pertemuan Muhyiddin dengan pemimpin Muafakat Nasional (MN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPA) semalam, Nur Jazlan berkata, ia kelihatan tidak mendapat persetujuan yang diharapkan untuk menubuhkan PN sebagai parti rasmi menghadapi PRU-15.

“Tujuan murni sesetengah individu Bersatu mungkin menimbulkan keresahan di antara pemimpin MN dan GPS yang hanya menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri di Parlimen sebagai gabungan Ahli Parlimen bersekutu yang dipanggil Perikatan Nasional.

“Mungkin kehadiran pemimpin yang ada terkejut dengan `persembahan tajuk’, perbincangan yang tidak dibincangkan secara terperinci di peringkat jawatankuasa bawah sebelum dibentang kepada ketua-ketua parti untuk dimuktamadkan,” katanya.

Mujur juga, kata Nur Jazlan, budi bahasa pemimpin yang hadir menghormati Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU-15 tidak mengeruhkan suasana mesra perjumpaan tersebut.

“Tindak tanduk individu Bersatu yang suka berunding di belakang tabir secara berasingan ini juga mendapat kecaman dari PH baru-baru ini,” katanya.

Nur Jazlan juga tidak menolak kemungkinan pemimpin MN dan GPS yang hadir semalam tidak yakin dengan kekuatan PN jika ditubuhkan secara rasmi sebagai sebuah parti kerana rakyat tidak mengenalinya seperti Bersatu yang juga tidak dikenali rakyat akar umbi walaupun ditubuhkan hanya pada 2017.

“Ditambah lagi parti ini masih dalam peringkat penaja kerana pemilihan pemimpin parti yang pertamanya hanya akan diadakan pada akhir September depan

“Mungkin ramai hadirinnya bimbang logo parti PN ini tidak akan dikenali dan berguna dalam PRU ke-15 akan datang berbanding logo BN atau Pas.

“Jangan sampai kelemahan Bersatu yang tidak berakar umbi ini berjangkit kepada PN sekiranya ia ditubuhkan secara rasmi dan akhirnya melemahkan MN dan GPS,” katanya.-SM

Show More

Related Articles

Back to top button