Politik

30 MP BN tandatangan surat sokong Muhyiddin

Seramai 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) difahamkan telah menandatangani surat akuan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai Perdana Menteri dalam satu pertemuan sulit di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan Ahad malam.

Sumber ahli Parlimen BN berkata, pertemuan sulit itu diadakan bermula jam 9 malam dan dipengerusikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen BN (BN Backbenchers), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jelas sumber itu lagi, surat akuan mempertahankan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa disediakan mereka memandang terdapat usaha pihak tertentu cuba menafikan sokongan 40 ahli Parlimen BN terhadap kerajaan PN sebelum ini.

“Pertemuan itu dimulakan dengan majlis makan malam sebelum 30 ahli Parlimen BN yang hadir bersetuju menandatangani surat akuan mempertahankan Muhyiddin dan kerajaan PN.

“Pertemuan itu juga dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Arau (Shahidan) dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi ruang untuk memberi ucapan alu-aluan.


“Baki 10 ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan sebelum ini, tidak dapat hadir kerana notis pertemuan sulit itu diberitahu kepada mereka pada saat akhir.

“Namun, kesemua mereka dijamin akan menandatangani surat berkenaan melalui wakil yang telah dipertanggungjawabkan,” kata sumber lapor Sinar Harian ahli Parlimen BN berkenaan kepada Sinar Premium pada Ahad malam.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan mengesahkan isi kandungan surat yang mengatakan 40 ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah sahih.

Penjelasan Ismail Sabri itu dibuat setelah Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz menafikan koalisi itu mengeluarkan kenyataan sedemikian selain menjelaskan perkara itu menjadi isu kerana penggunaan kepala surat BN.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendedahkan 40 ahli Parlimen BN yang menyokong kerajaan PN kekal termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Sementara itu, sumber ahli Parlimen UMNO berkenaan turut menolak dakwaan terdapat satu lagi pertemuan melibatkan ahli-ahli Parlimen parti itu untuk mewujudkan gerakan menukar Perdana Menteri pada waktu yang sama, Ahad malam.

Jelas beliau, majoriti ahli Parlimen BN sudah bersetuju untuk terus kekal menyokong kerajaan PN untuk memberi fokus sepenuhnya dalam menyelesaikan krisis Covid-19 ketika ini.

“Tidak ada. Saya tiada dengar. Pertemuan malam ini (Ahad malam) pun sekadar untuk menunjukkan bukti sokongan ahli-ahli Parlimen BN kepada Tan Sri Muhyiddin menerusi surat akuan sokongan.

“Itu sahaja. Tiada gerakan lain hendak tukar PM (Perdana Menteri),” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian menerima satu kiriman pesanan WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang dipercayai mendedahkan masa dan lokasi pertemuan ahli-ahli Parlimen BN itu, seawal jam 5 petang Ahad lagi.

Individu berkenaan turut mengongsikan satu video ringkas berdurasi 1 minit dan 21 saat di mana isi kandungannya membidas tindakan ahli-ahli Parlimen BN berkenaan mengadakan perjumpaan tertutup secara beramai-ramai susulan tidak mematuhi SOP ditetapkan.

 

(Visited 185 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button