Politik

Syed Saddiq puji Mohamad tolak jawatan GLC, jadi teladan dunia politik

TINDAKAN Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menolak pelantikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipuji.

Ketua Pemuda Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak berasa hairan apabila Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat menolak tawaran tersebut kerana itu adalah sikap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang dia kenal.

“Sepanjang saya menceburi politik negara, Dato’ Seri adalah antara figura yang saya hormati. Meskipun Dato’ Seri adalah Timbalan Presiden UMNO, ini tidak pernah menafikan bahawa sumbangan Dato’ Seri dalam parti dan politik negara sentiasa memberi satu momentum yang positif dan sihat ke arah politik khidmat untuk negara.

“Saya sokong pegangan Dato’ Seri dalam hal ini. Sesungguhnya, inilah yang harus saya dan rakan-rakan sejawatan pelajari,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan.

Semalam media melaporkan, Mohamad berkata beliau telah menolak pelantikan bagi menerajui sebuah GLC

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu tidak mengulas panjang perkara itu, termasuk sebab beliau berbuat demikian.

Sebelum ini, satu senarai berhubung pelantikan sejumlah pemimpin Umno bagi mengetuai GLC disebarkan di media sosial, antaranya Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mad Hasan, bakal menjadi pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Syed Saddiq berkata, beliau percaya tindakan yang diambil oleh Mohamad adalah permulaan yang sukar untuk politik khidmat di Malaysia.

“Jarang sekali ahli politik menolak bentuk tawaran sebegini. Lebih-lebih lagi tawaran dari syarikat-syarikat yang besar dan utama di negara kita datang dengan begitu banyak kelebihan.

“Selain daripada bayaran asas, tawaran tersebut juga datang dengan elaun mesyuarat, elaun kereta, elaun eletrik, dan lain lain lagi. Kalau prinsip ahli politik dikaburi dengan Ringgit, pasti tidak akan menolak tawaran yang boleh mencecah lebih RM300,000,” kata Syed Saddiq.

Syed Saddiq berkata, tindakan Mohamad telah memberi tauladan terbaik kepada dunia politik soal prinsip dan integriti.

Menurutnya, ahli politik perlu menggalas tugas mulia untuk berkhidmat sebaik mungkin bagi membela rakyat, golongan kurang bernasib baik serta mentadbir dengan nilai dan tanggungjawab.

Prinsip itu juga tidak boleh dibuat urus niaga atau ditukar ganti dengan faktor material, jawatan dan wang ringgit.

Jelas Syed Saddiq, bukan mudah untuk menjaga prinsip dan integriti yang merupakan ujian kepada para pemimpin.-SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button