Nasional

Berhibur masa PKP, sembilan kena tahan

SEMBILAN individu, termasuk dua wanita warga Indonesia, telah ditahan bukan sahaja kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah mereka juga didapati berhibur di sebuah pusat hiburan tanpa lesen di Jalan Burma, di sini pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Sofian Santong berkata polis yang menjalankan pemantauan Op COVID-19 menyerbu pusat hiburan itu pada 1 pagi selepas menerima maklumat terdapat sekumpulan individu sedang berhibur serta berkaraoke di premis tersebut.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki tempatan termasuk pemilik premis tersebut dan dua wanita warga Indonesia yang kesemuanya berusia 20 hingga 38 tahun. Semasa serbuan, mereka sedang leka berhibur,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati enam daripada tujuh lelaki itu positif dadah jenis ketamin, metamfetamin dan amfetamin serta seorang daripada mereka turut disiasat kerana kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan awam daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Katanya kesemua mereka kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(a) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 manakala bagi kesalahan dadah, disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Superintenden Mohd Mustafa Bidin berkata polis menahan sembilan lelaki termasuk dua warga Myanmar yang sedang berbual dan meminum arak di lorong belakang sebuah kedai serbaneka di Medan Kurau 3, Taman Chai Leng, Perai dekat sini pada kira-kira 6.15 petang semalam.

Beliau berkata semasa ditahan, semua individu itu dalam keadaan mabuk serta ada yang cuba melawan, dan pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki warga asing terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

“Polis turut menahan tiga lelaki serta seorang wanita yang berkumpul dan sedang leka bermain judi di pekarangan sebuah rumah di Taman Chai Leng serta merampas pelbagai peralatan untuk bermain judi selain sejumlah wang dipercayai hasil kegiatan tersebut,” katanya. – BERNAMA             

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button