Nasional

Bantuan Khas Covid dibayar esok, PM harap dapat ringan beban rakyat

Bantuan Khas COVID-19 (BKC) bagi Fasa 1 akan dikreditkan ke dalam akaun penerima bermula esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap, bantuan berkenaan akan sedikit sebanyak meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“BKC ini akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang menfokuskan kumpulan sasar terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.

“Saya berharap, pemberian bantuan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19,” kata Ismail Sabri.

Menurut beliau dana berjumlah RM3.1 bilion telah pun disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.


Ismail Sabri turut melahirkan harapan agar pelaksanaan inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan berjaya untuk memulihkan ekonomi dan kesihatan rakyat.

“Kerajaan kini melaksanakan rangsangan ekonomi rakyat dan negara melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

“Besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan isi rumah/ warga emas RM5,000 dan ke bawah, manakala bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah.

Kriteria semakan kelayakan bagi golongan M40 pula adalah yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang.

Kategori miskin tegar bagi isi rumah akan menerima RM1,300 yang dibayar menerusi tiga fasa; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500) masing-masing dibayar mengikut dua fasa.

Bagi kategori B40 untuk isi rumah akan menerima RM800 (dibayar dua fasa), warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200), manakala kategori M40, isi rumah layak menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).

Pada 28 Jun lalu, kerajaan di bawah pentabiran Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengumumkan Pakej Pemulih sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.-SM

(Visited 74 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button