fbpx
Politik

‘Baju oren aku tak ada bro, yang ada Oyen ni je seketul’

‘BAJU oren aku tak ada bro, yang ada Oyen ni je seketul’, Itu jawapan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Exco Pergerakan Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris, di Twitternya.

Oyen adalah seekor kucing berwarna oren yang dibela oleh Syed Saddiq. Kucing itu diberi nama Tobby.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu membalas ciapan Muhammad Azri di Twitter yang mendakwa beliau telah direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Muhammad Azri yang juga sebelum ini dikenali sebagai Papagomo berkata, Syed Saddiq perlu dipakaikan baju berwarna oren selepas ditahan oleh SPRM.

“Dapat berita @SyedSaddiq telah ditahan SPRM. Walau Aku menyampah dengan Saddiq penipu ni Aku harap dia diperlakukan dengan adil sama seperti mereka yang sebelum ini ditahan.


“Baju oren lokap SPRM mesti disarungkan tanpa ragu ragu,” ciap Muhammad Azri.

Pakaian berwarna oren adalah baju yang sering dipakaikan kepada suspek kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ketika dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.

Dan kerana itu sesiapa sahaja yang menjadi suspek kes rasuah pastinya akan disarungkan dengan pakaian tersebut.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditahan selepas dipanggil oleh suruhanjaya itu bagi membantu siasatan.

Sebelum itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki telahpun menafikan SPRM menahan Syed Saddiq.

“Dia (Syed Saddiq) tidak ditahan oleh kami (SPRM),” katanya ringkas kepada Bernama semalam.

SPRM telah memanggil Syed Saddiq dua hari berturut-turut iaitu pada Khamis dan Jumaat bagi siasatan berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dirumahnya pada 29 Mac lalu.

“Semalam turn Toby. Hari ni turn Meow Meow pula. Terima kasih para pegawai SPRM yang bertugas lebih masa hari ini atas layanan yang baik dan profesional.

“Sekali lagi, saya tak ada nak sembunyikan apa apa. Berani kerana benar,” kata Syed Saddiq di Twitternya. Meow Meow adalah salah seekor kucing yang dipelihara oleh Syed Saddiq.

Syed Saddiq sebelum ini menafikan bahawa wang tunai berjumlah RM250,000 yang hilang dari peti besi di rumahnya di Petaling Jaya adalah milik Bersatu.

Menurutnya duit tersebut adalah milik beliau bersama ibu bapanya yang akan digunakan untuk membuat pengubahsuaian rumah mereka.

Beberapa orang termasuk pembantu peribadinya, Siti Nurul Hidayah telah disiasat oleh SPRM berhubung kehilangan wang tersebut.

Malah SPRM turut memanggil ibu bapa Syed Sadiqq sebanyak empat kali bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang terbabit.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM mengesyaki berlakunya penyelewengan di dalam akaun milik Armada.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button