Politik

Isham Jalil: Pulihkan parti, berderetan solusi

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil memaklumkan bahawa ada orang bertanya kepada beliau, apakah solusi penyelesaian ke atas UMNO sekarang.

Beliau berkata, sebelum ini, dalam postingnya di Facebook pada bulan lepas selepas PRN enam negeri dan di Astro Awani, beliau telahpun memberi cadangan solusinya.

Kata Isham, ada juga yang memaklumkannya supaya membawa pandangannya ke dalam mesyuarat.

“Saya ingin maklumkan sebenarnya saya telah banyak kali mengutarakan pandangan-pandangan dan dapatan-dapatan saya kepada Majlis Tertinggi secara elektronik iaitu merujuk kepada WhatsApp group mahupun mesyuarat fizikal.

“Namun pandangan saya ini bukanlah pandangan popular di kalangan kepimpinan. Saya pasti ahli-ahli Majlis Tertinggi dan kepimpian sudah tahu atau boleh mengagak pendirian saya berkenaan halatuju parti setelah berkali-kali saya utarakan,” ujar beliau. Namun kata Isham, beliau menerima hakikat jika pandangan-pandangan beliau ini dianggap bagai mencurah air di daun keladi.

“Namun tidak mengapa. Sebab saya ingin selamatkan parti, survival parti yang saya sayangi ini kini menjadi taruhan dan dalam keadaan getir.

“Kita perlu berani dan kuat dalam perjuangan. Jika kita takut dan lemah, kita akan mengikut sahaja dan tidak berani menegur walaupun kita nampak halatuju kapal ini menuju kemudaratan. Ini tidak baik,” tegas Isham.

Isham berkata, perjuangan UMNO untuk orang-orang Melayu di Malaysia ini adalah lebih besar dari perjuangan mana-mana individu.

Beliau mengakui, tidak ada apa-apa kepentingan peribadi dalam perjuangan ini, tidak pernah ambil gaji daripada UMNO mahupun gilakan jawatan.

“Semasa saya jadi Ketua Penerangan UMNO, saya sendiri yang serahkan kembali jawatan ini kepada Presiden UMNO apabila saya mahu bertanding Majlis Tertinggi.

“Jika saya sayangkan jawatan ini, saya tidak akan serah kembali atau perlu bertanding MT, saya hanya perlu bodek, angguk dan kipas pemimipin sahaja,” jelas beliau.

Tetapi umum tahu, kata Isham yang beliau bukanlah jenis orang sebegini.

“Malah sebenarnya saya bersyukur kerana Allah telah takdirkan saya dilepas dari memegang jawatan tersebut, sebab jika saya masih lagi Ketua Penerangan UMNO, saya bertanggungjawab memberikan penerangan kepada akar umbi mengapa kita perlu sokong DAP.

“Ini bukanlah apa yang saya mahukan dan bertentangan dengan pendirian peribadi saya. Dan saya juga pernah ditawarkan jawatan Ahli Lembaga Pengarah GLC sebanyak dua kali sebelum ini, kedua-duanya saya tolak,” katanya.

Salah satu solusinya ialah memperkukuhkan keyakinan akar umbi UMNO semula terhadap perjuangan UMNO dan terhadap halatuju kepimpinan parti, katanya.

“Keputusan PRN dan PRK baru-baru ini memberikan bukti bahawa apa yang saya kata berbulan-bulan dahulu sebelum PRN telah menjadi kenyataan. Iaitu akar umbi kita menolak kerjasama dengan DAP dalam pilihanraya.

“Mereka menolak DAP bukan sebab indoktrinasi propaganda, tetapi sebab hakikat sememangnya perjuangan DAP itu adalah amat bertentangan dengan pejuangan UMNO.

“DAP memperjuangkan Malaysian Malaysia yang mahu “kesamarataan” yakni penghapusan hak-hak keistimewaan Melayu. Perjuangan asas UMNO pula tegar mempertahankan hak-hak ini.

“Jika UMNO berlembut dalam hal ini, perjuangan asas ini akan lemah dan terhakis dan sedikit masa lagi akan hilang. Saya telah menulis panjang lebar berkenaan hal ini. Ini adalah isu asas dalam perjuangan UMNO dan bukannya isu remeh atau isu pragmatik yang boleh di “white wash” atau di “brainwash” begitu sahaja.

“Sekiranya akar umbi dipaksa juga, ia seolah memaksa mereka untuk meninggalkan perjuangan asas mereka dalam UMNO. Apabila ini berlaku mereka akan hilang kepercayaan dan meninggalkan parti kerana mereka melihat halatuju parti telah menyimpang daripada perjuangan asal.

“Ini yang telah berlaku semasa PRN enam negeri dan PRK-PRK baru-baru ini, apabila 8 daripada 10 pengundi Melayu tidak lagi mengundi BN atau gabungan yang dibawa BN, dan 9 daripada 10 akar umbi UMNO sama ada tidak keluar mengundi atau telah mengundi PN.

“Sebab itu kita kalah di 90% kerusi yang kita bertanding dalam PRN, dan hilang 27 ribu (90%) penyokong kita dalam PRK,” kata Isham dalam memberikan pencerahan.

Isham seterusnya berkata, kini hanya 20% orang-orang Melayu menyokong UMNO.

“Semalam saya menulis bahawa di tahap ini, semua 26 kerusi-kerusi UMNO sedia ada besar kemungkinan akan kalah jika diadakan PRK.

“Ini juga bermakna, pada PRU-16 kelak jika keadaan tidak berubah atau menjadi semakin teruk, UMNO akan lenyap terus.

“PN tentunya suka jika UMNO tidak berubah dan kekal dalam keadaan ini, sebab dengan ini kerusi-kerusi ini akan berpindah tangan kepada mereka dan mereka boleh membentuk kerajaan pada PRU-16 nanti.

“Sesuatu parti politik tidak boleh survive tanpa akar umbi. Jika parti hilang akar umbi, parti itu tidak lagi relevan dan umpama hidup segan mati tak mahu.

“Kita tidak boleh berada dalam keadaan ini. Kita perlu kembalikan akar umbi kita dan keyakinan mereka terhadap kita dan bukan dengan cara memaksa mereka, lebih-lebih lagi menyuruh mereka menyimpang dari perjuangan asas.

“Oleh itu, tindakan pertama adalah untuk mengembalikan akar umbi kita dahulu. Ini dengan mengukuhkan keyakinan mereka kepada perjuangan asas iaitu mempertahankan hak-hak orang-orang Melayu.

“Ini juga bermakna menentang perjuangan Malaysian Malaysia yang jelas ingin menghilangkan hak-hak ini.

“Kita tidak boleh kata kita mempertahankan hak orang Melayu tetapi pada masa yang sama bekerjasama dan membiarkan DAP berjuang menentang hak-hak ini.

“Perjanjian retorikal supaya DAP tidak sentuh hak-hak orang Melayu adalah tidak bermakna jika mereka terang-terang kata yang mereka akan teruskan Malaysian Malaysia.

“Suatu hari apabila mereka berkuasa dan mempunyai lebih banyak kerusi dan kita pula bergantung harap kepada undi mereka, saya tidak terkejut jika mereka melaksanakan agenda perjuangan Malaysian  Malaysia mereka ini.

“Ini mudarat besar kepada orang-orang Melayu. Ketika itu sudah terhantuk barulah kita tergadah. Apabila ini berlaku, nasi sudah menjadi bubur. UMNO terbakar bukan sebab anak kecil atau akar umbi main api, tetapi sebab pucuk-pucuk yang bermain api,” kata Isham.

Tambah Isham, bagaimana untuk kembalikan keyakinan akar umbi ini?

“Salah satu cara (seperti yang saya telah sebut sebelum ini) ialah kita tidak perlu pergi pilihanraya dengan gabungan PH dan DAP.

“Kita boleh kekal dalam Kerajaan Perpaduan menjunjung titah SPB YDP Agong, namun kita boleh bertanding pilihanraya sebagai Barisan Nasional.

“Dengan ini kita boleh menyumbang dalam hal-ehwal dasar dalam kerajaan dan pada masa yang sama mengekalkan perjuangan asas dan mengembalikan akar umbi kita.

“Dan semasa kita dalam kerajaan Perikatan Nasional dahulu, kita telahpun berada bersama dalam kerajaan namun tidak dalam pilihanraya.

“Pada awalnya mungkin kita tidak akan berjaya dalam pilihanraya kecil, namun dengan kembalinya akar umbi kita, sekurang-kurangnya kita ada harapan untuk memulihkan parti daripada terus jadi abu.

“Selepas kita kalah PRU-14 dahulupun pada awalnya kita tidak menang PRK di Balakong dan Sungai Kandis, namun selepas itu kita telah bangkit dan tambahan lagi dengan fenomena Bossku kita telah berjaya memenangi pilihanraya sehinggalah PRN Johor,” katanya. – SM

BACA Presiden UMNO sedang memperbodohkan rakyat negara ini

BACA Jailani bidas Lembaga Disiplin UMNO bocor kandungan suratnya

(Visited 372 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button