BeritaPolitik

Dua tiga kali Tun M sebut ‘rombakan Kabinet’

Dua perkataan, “rombakan Kabinet” diungkapkan serius oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung petang ini.

“Beberapa kali,” menurut seorang pemimpin kanan sebuah parti sekutu kerajaan kepada portal Suara Merdeka malam ini.

Sumber itu menjangkakan rombakan Kabinet akan dibuat dalam waktu terdekat sebelum memasuki ambang tahun baharu 2020 susulan `kerosakan teruk’ ditanggung PH dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Tanjung Piai 16 November lalu.

BN merampas kembali Tanjung Piai daripada PH dengan majoriti besar 15,086 undi, dengan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi berbanding calon PH, Karmaine Sardini yang sekadar meraih 10,380 undi.

Kekalahan teruk PH itu disifatkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai “boleh menandakan bermulanya pengakhiran PH atau ia dapat menjadi suatu permulaan baharu bagi pakatan parti pemerintah itu”.

Menurut sumber itu lagi, kewibawaan menteri-menteri PH dalam menangani isu permasalahan rakyat agak mengecewakan dari sudut prestasi dan sistem penyampaian.

“Lemah dan ada yang berlagak pandai, diminta buat A, dibuatnya B…sekali gus membiarkan Tun (Dr. Mahathir) seolah-olah bersendirian mentadbir negara,” kata sumber itu lagi.

Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden itu, Dr. Mahathir yang menafikan akan merombak barisan Kabinet dalam masa terdekat bagaimanapun
menegaskan, semua kemungkinan boleh berlaku jika ada sebarang keperluan untuk berbuat demikian.

KPI atau Petunjuk Prestasi Utama menteri-menteri kerajaan PH agak tidak terduga oleh bukan sahaja sebahagian besar rakyat tetapi turut menggamit teguran Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin dan Dr. Mahathir sendiri.

Sudah beberapa Dr. Mahathir meluahkan isi hati serupa.

Pertama, pada 24 Ogos tahun lalu ketika menegaskan mengapa khidmat CEP masih diperlukan.

“Saya perlu bekerja dengan cepat dan saya perlukan seseorang yang berpengalaman untuk menyusun sesuatu tugas.

“Menteri baharu tidak berapa tahu mengenai tanggungjawab dalam setiap kementerian. Mereka masih tercari-cari jalan dan mereka tidak boleh melakukan banyak siasatan,” sambil Dr. Mahathir memperakui mereka yang menganggotai CEP mempunyai banyak pengalaman untuk menyelesaikan pelbagai isu penting.

Dan kali kedua pula pada awal September 2018 yang turut dilihat dalam soal prestasi Kabinet dengan Dr. Mahathir menekankan keperluan bertindak dalam tempoh masa yang pantas.

“Saya tidak pernah berpuas hati. Saya kalau boleh hendak buat (apa-apa tindakan) kelmarin, bukan hari ini,” kata negarawan berusia 93 tahun itu.

(Visited 63 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button