Ekonomi

Axiata disenarai pendek bida syarikat menara telekomunikasi Myanmar

AXIATA Group Bhd., hari ini mengesahkan ia telah disenarai pendek untuk membida syarikat menara telekomunikasi Myanmar, Irrawaddy Green Towers (IGT).

BERNAMA melaporkan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Izzaddin Idris berkata, bidaan itu menerusi anak syarikatnya, edotco Group Sdn. Bhd., adalah sejajar dengan sasaran Axiata untuk mengembangkan bilangan menaranya kepada 50,000 menara daripada 20,000 menara di rantau ini.

“Terdapat banyak peluang di rantau ini, bukan hanya di Myanmar. Kami melihat kepada peluang lain juga,” katanya kepada pemberita selepas majlis permeteraian pelaburan strategik antara Axiata Digital dan Great Eastern, hari ini.

Selain Axiata, dua syarikat lain, Guodong Group dari China dan firma ekuiti swasta global, CVC Capital Partners juga disenarai pendek untuk membida IGT.

Menurut laporan berita, IGT dianggarkan bernilai US$800 juta (RM3.42 bilion) dan pembida yang dipilih dijangka diumumkan bulan depan.

Pada penutup hari ini, saham Axiata turun sembilan sen kepada RM3.39 dengan 9.07 juta saham diniagakan. – SM

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button