Ekonomi

GrabFood rancang perluas perkhidmatan ke lebih banyak bandar

GRABFOOD sedang mengintai peluang bagi mengembangkan perkhidmatan seperti GrabExpress dan GrabMart kepada lebih banyak bandar.

“Ini seterusnya akan meningkatkan peluang perniagaan dan pendapatan di kalangan penduduk,” kata syarikat penghantaran makanan itu dalam satu kenyataan hari ini.

GrabFood baru-baru ini telah menyimpulkan pusingan kedua dalam langkah pengembangannya di Malaysia, dengan memberi perkhidmatan kepada jutaan penggemar makanan merangkumi tambahan 19 bandar baharu di samping mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan untuk rakan kongsi penghantaran serta restoran yang terlibat.

Sebelum ini, perkhidmatan ini hanya terdapat di kawasan terpilih di Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Pengembangan kali ini menyaksikan GrabFood menjangkau selera penggemar makanan di Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang, Ipoh, Taiping, Seremban, Nilai, Kuantan, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Miri, Bintulu, Batu Pahat, Muar, Alor Setar, Sungai Petani, Seberang Perai dan Langkawi.

Ketua Negara Grab Malaysia Sean Goh berkata pada 2019 sahaja, syarikat itu meraih peningkatan empat kali ganda dalam jualan melalui restoran yang menjadi rakan kongsi GrabFood.

“Melalui platform kami, restoran-restoran kecil, khususnya di kawasan luar bandar, sekarang ini boleh memajukan perniagaan mereka.

“Dengan pengenalan GrabFood di bandar-bandar baharu ini, kami berharap untuk membantu lebih banyak restoran di seluruh negara dan pada masa yang sama, memberikan pelanggan kami akses yang mudah kepada menu kegemaran tempatan dan antarabangsa,” tambahnya. – BERNAMA

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button