Ekonomi

BPMB, Danajamin akan mula perundingan cadangan penggabungan

BANK Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan Danajamin Nasional Bhd telah menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memulakan perundingan mengenai cadangan kerajaan untuk menggabungkan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI).

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan mencadangkan supaya BPMB, Danajamin, Bank Eksport-Import Malaysia (EXIM Bank) dan SME Bank distruktur dan digabungkan untuk memperkukuh ekosistem DFI.

“Penggabungan itu dijangka menghasilkan sinergi yang lebih baik untuk mencapai hasil pembangunan yang akan menguntungkan semua pihak berkepentingan, selain memenuhi keperluan ekonomi baharu.

“Pelan penstrukturan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa – fasa pertama melibatkan penggabungan BPMB dan Danajamin, manakala fasa kedua adalah penggabungan EXIM Bank dan SME Bank kepada entiti yang digabungkan terdahulu,” kata BPMB dalam kenyataan hari ini.

Menurut BPMB, Jawatankuasa Pemandu yang diketuai Kementerian Kewangan akan memantau keseluruhan pelan pelaksanaan dan penstrukturan semula itu.

Jawatankuasa itu melibatkan wakil daripada kementerian-kementerian yang relevan seperti Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Credit Guarantee Corporation, BNM dan empat DFI terbabit.

“Jawatankuasa kerja juga telah ditubuhkan untuk menyokong Jawatankuasa Pemandu itu dalam memacu pelaksanaan aspek integrasi utama penggabungan tersebut selain menyediakan maklumat terkini kepada orang awam dan mengikut kesesuaian perkembangannya,” menurut kenyataan itu.

Perundingan antara BPMB dan Danajamin dijangka selesai dalam tempoh enam bulan daripada kelulusan BNM. – BERNAMA

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button