Ekonomi

Bank Rakyat tawar pengeluaran tunai segera kepada pelanggan Kad Kredit-i

Pelanggan Kad Kredit-i Bank Rakyat kini boleh membuat pengeluaran tunai segera sehingga 100% had pembiayaan mereka sepanjang tempoh Kempen Pengeluaran Tunai Kad Kredit-i Bank Rakyat bermula 1 Ogos hingga 31 Oktober 2021.

Kempen ini terbuka kepada semua pemegang kad utama dan tambahan kecuali Kad Kredit-i Korporat Bank Rakyat.

Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan, kempen ini merupakan salah satu alternatif bagi mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek pelanggan akibat kesan pandemik COVID-19.

“Inisiatif ini diharap dapat memanfaatkan lebih dari 270 ribu pelanggan Kad Kredit-i dalam menguruskan keperluan harian mereka,” ujar beliau.

Katanya, kempen ini menawarkan kadar keuntungan istimewa sebanyak 6% setahun atau 0.5% setiap bulan bagi transaksi pengeluaran tunai yang dilakukan dalam tempoh kempen berbanding dengan kadar keuntungan sedia ada iaitu 18% setahun.

Menerusi kempen ini, pelanggan boleh membuat pengeluaran tunai di mana-mana ATM dan kaunter Bank Rakyat termasuk ATM dan kaunter Bank lain. Selain itu, pelanggan juga boleh membuat pengeluaran tunai menerusi panggilan telefon dengan menghubungi Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03-2693 6880.

“Pengeluaran tunai melalui panggilan telefon mempunyai had pengeluaran minimum sebanyak RM500 dan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM20 untuk setiap pengeluaran. Dana tunai yang dikeluarkan akan di kreditkan ke Akaun Semasa-i/Akaun Simpanan-i (CASA) Bank Rakyat pelanggan dalam tempoh 48 jam,” tambah Dato’ Syed Abdul Aziz.

Menurutnya lagi, tiada had yang ditetapkan bagi bilangan transaksi pengeluaran tunai yang boleh dilakukan oleh pemegang kad.

Kini, Kad Kredit-i Bank Rakyat giat menawarkan pelbagai diskaun dan rebat pada waktu pandemik menerusi usaha sama dengan pelbagai jenama seperti Poplook, UMMA, So.lek Cosmetics, Mis Claire, The Batik Boutique, Emmer Zecna dan Polo Haus. Tawaran diskaun dan rebat ini diharapkan dapat meringankan perbelanjaan pengguna kad.

“Kad kredit kami memang terkenal dengan pelbagai ciri unik, antaranya tiada yuran tahunan, tiada kadar tambahan bagi transaksi luar negara yang melibatkan pertukaran wang asing dan perlindungan takaful secara percuma atas jumlah baki tertunggak.

“Kami mempunyai pelbagai pilihan kad yang menepati setiap keperluan individu seperti Platinum Explorer, Muslimah, Platinum dan Emas,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03-2693 6880 dan Pusat Panggilan di talian 1300 80 5454 atau kunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran. – SM

(Visited 804 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button