fbpx
Politik

Anwar selar tindakan anggota PKR Melaka berhubung lantikan senator

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan dua wakil rakyat parti itu yang gagal berada di Dewan Undangan Negeri Melaka semasa pengundian bagi usul pelantikan Ahli Dewan Negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau akan berhubung dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Machap Jaya Datuk Ginnie Lim Siew Lin untuk mendapat penjelasan lanjut.

“Saya tidak berhubung dengan mereka. Saya sepatutnya bertemu atau berkomunikasi dengan mereka hari ini. Itu sudah tentu tidak dapat diterima kerana mereka harus menghormati keputusan negeri dan kedudukan kita, mereka mesti menyokong keputusan Ketua Menteri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan DUN Melaka menolak usul pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Datuk Halim Bachik sebagai Ahli Dewan Negara selepas pengundian menyaksikan 13 ADUN menolak, 12 ADUN menyokong dan tiga ADUN berkecuali.

Kesemua 13 ADUN Barisan Nasional (BN) menolak usul itu, 12 ADUN PH menyokong, bagaimanapun yang menarik perhatian adalah dua ADUN PH itu tiada dalam dewan ketika undian dilakukan, menyebabkan Speaker DUN Melaka Datuk Omar Jaafar mengumumkan keputusan sedemikian.


Selain dua ADUN daripada PKR itu, G. Saminathan (DAP-Gadek) juga tidak menghadiri persidangan itu kerana sedang menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

Anwar berkata keputusan kerajaan negeri dan parti perlu dihormati dalam apa juga keadaan, meskipun wujud sebarang perbalahan dalam parti itu.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan usul menyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sepenggal akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Anwar berkata tidak mendengar khabar angin itu.

“Kalau ada mana-mana usul kerajaan, mesti dibawa ke Majlis Presiden PH dahulu dan kita belum dengar (usul itu). Kalau ada usul kerajaan pintu belakang, itu kena tanya orang terbabit,” katanya.

Sementara itu, Anwar mempertahankan pemecatan dua ahli PKR termasuk Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abdul Hamid yang didakwa terbabit dalam rasuah ketika pemilihan parti tahun lepas.

Beliau berkata, meskipun berlaku kekhilafan di pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengeluarkan cadangan tatatertib kepada parti politik, kandungan surat yang mendedahkan bukti salah laku dua ahli PKR itu tidak dipertikaikan.

“PKR terpaksa mengambil tindakan tegas memecat mereka kerana kandungan surat yang dihantar SPRM itu sangat serius dan substantif daripada segi fakta kesalahan dilakukan. Kita mesti tegas membanteras penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Sama ada silap teknikal atau tidak, itu soal lain.

“Apa yang terkandung dalam surat itu juga tidak dipertikai, ia disertakan dengan bukti kesalahan, penyalahgunaan kuasa, sogokan. Ini serius dan kalau kita ambil sambil lewa atas alasan teknikal, itu susah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dua ahli PKR yang dipecat itu dibenarkan mengemukakan rayuan dan Lembaga Disiplin perlu mempertimbangkannya dengan adil.

Beliau mengulas pemecatan Zakaria yang juga Ketua PKR Cabang Bera dan Ismail Dulhadi berkuat kuasa Ahad lepas selepas Lembaga Disiplin PKR menerima bukti kukuh daripada SPRM.

Semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengakui berlaku khilaf apabila suruhanjaya itu menghantar surat cadangan tatatertib kepada PKR yang turut mencadangkan tindakan tatatertib ke atas ahlinya kerana melanggar kod etika parti. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button