Politik

Husam akan diberi peranan yang lebih besar – Mat Sabu

DATUK Husam Musa yang telah meletakkan jawatan sebagai  Naib Presiden Parti Amanah Negara akan diberikan peranan yang lebih besar dalam parti itu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu atau Mat Sabu berkata, Husam akan dilantik sebagai penasihat kepada tiga biro penting iaitu Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi Parti Amanah.

Husam akan memimpin biro-biro tersebut dalam menyediakan pelan untuk parti Amanah dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

“Apabila beliau melepaskan jawatan, maka kami para pimpinan mencadangkan supaya beliau diberi peranan yang lebih besar.

“Inilah tanggungjawab yang akan diserahkan kepada Husam bersesuaian dengan pengalaman dan kebolehan beliau,” kata Mohamad.

Mohamad berkata, dia dan Husam akan sentiasa berganding bahu untuk memajukan Amanah dan mengeratkan hubungan dalam Pakatan Harapan.

Kedua-dua mereka akan memacu masa depan politik Malaysia dengan konsep Islam Rahmatal Lil Alamin. Jelas Mohamad, dia bersama Husam sejak zaman kepemudaan lagi.

“Setelah beliau keluar dari Universiti Malaya, kami sama sama berkecimpung di dalam PAS.

“Kami sentiasa bertukar tukar pandangan, berceramah sepentas dan merangka strategi PAS sehinggalah kami bersama di dalam Parti Amanah Negara.

“Datuk Husam seorang yang berfikiran luas, strategik dan sentiasa fokus didalam gerak kerjanya. Kehebatannya itu diakui oleh kawan dan lawan,” kata Mohamad.

Semalam Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata permohonan Husam untuk melepaskan jawatannya itu sudah diluluskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional Amanah pada 6 September lalu.

Katanya, permohonan peletakan jawatan itu bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi untuk Amanah di Kelantan, khasnya di Parlimen Kota Bharu yang beliau ketuai.

“Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, jawatankuasa nasional Amanah mengambil keputusan untuk meminta beliau berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro Amanah dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Tiga Biro ini adalah Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi. Kertas cadangan berhubung peranan baharu sedang disediakan untuk persetujuannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Husam dilapor menyerahkan peletakan jawatan kepada kepemimpinan Amanah selepas menyertai parti itu sejak Ogos 2016.

Bekas Naib Presiden PAS itu dipecat keanggotaannya dalam PAS pada April 2016 kerana lantang mengkritik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS dan UMNO.-SM

(Visited 386 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button