Politik

Gagal ambilalih kerajaan, isytihar darurat, Parlimen jadi tumpuan

AKHIRNYA Mesyuarat Ketiga Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan bermula hari ini tepat pukul 10 pagi nanti.

Sudah tentu hari pertama mesyuarat hari ini akan menjadi perhatian rakyat.

Ini terutama selepas lebih sebulan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melafazkan, “Conclusively, we have a strong, formidable majority. We are not talking four or five (majority) we are talking much more than that,” pada 23 September lalu.

Presiden PKR itu gagal dalam meyakinkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa dia memiliki ‘strong, formidable majority’ atau ‘majoriti besar, hebat’ ketika menghadap pada 13 Oktober.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Adakah Anwar akan meneruskan agenda  mahu mengambil alih kerajaan dalam Dewan Rakyat hari ini?

Lebih-lebih lagi selepas Ahli Parlimen PKR (Lembah Pantai) Fahmi Fadzil berkata, seramai 25 ahli Parlimen pembangkang telah mengemukakan usul menentang Perdana Menteri berdasarkan draf Aturan Urusan Mesyuarat sidang Parlimen, hari ini.

Dan adakah kegagalah Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk mengisytiharkan darurat selepas ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong juga akan menjadi bahan sindiran pembangkang dalam Dewan Rakyat hari ini?

Adakah Dewan Rakyat akan lebih hiruk-pikuk hari ini berbanding pada 13 Julai lalu. Masih ingat lagi betapa gegak-gempitanya Dewan Rakyat memulakan persidangan selepas Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan.

Apapun semua ahli Parlimen perlu menginsafi dan ingat pesan Al-Sultan Abdullah ketika menolak cadangan darurat Perdana Menteri pada 25 Oktober lalu.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara

“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu-gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di Sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” kata Ahmad Fadil yang menyampaikan titah Yang di-Pertuan Agong.

Ingatlah pesan Al-Sultan Abdullah dan ingatlah rakyat memerhati. Rakyat benar-benar mahukan Belanjawan 2021 memihak kepada mereka. Kehidupan rakyat kini benar-benar terhimpit akibat pandemik Covid-19 yang menyaksikan hampir beratus ribu kehilangan pekerjaan dan peniaga yang mengeluh ekonomi tidak seperti dulu.-SM

 

(Visited 410 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button