Negeri

“Melakaku Maju Jaya Rakyat Bahagia Menggamit Dunia” – Slogan baharu Melaka

Kerajaan negeri Melaka hari ini melancarkan slogan baharu iaitu ‘Melakaku Maju Jaya Rakyat Bahagia Menggamit Dunia’ dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata bagi menjayakan usaha itu, penjawat awam di Melaka digesa memberi penekanan terhadap elemen 5K yang merujuk kepada komunikasi, kolaborasi, koordinasi, kompetensi dan kongsi matlamat bersama.

Beliau berkata lima aspek tersebut menjadi faktor penting dalam indeks prestasi utama yang ditetapkan dalam menilai pencapaian prestasi semua agensi kerajaan negeri itu.

“Salah satu elemen 5K yang dilihat agak penting ialah aspek koordinasi khususnya melibatkan antara agensi kerajaan negeri bagi memastikan perkhidmatan atau bantuan kepada rakyat dapat disampaikan dengan cepat dan elemen ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Komunikasi dua hala antara agensi penting bagi mengelak ‘communication breakdown’ selain komunikasi tersebut perlu melibatkan semua peringkat dalam sesebuah agensi kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Menteri Melaka di sini, hari ini.

Sulaiman berkata misi baharu kerajaan negeri Melaka turut diperkenalkan iaitu ‘TERAS’ yang merangkumi elemen teknologi, keusahawanan, revolusi industri dan ekonomi, antarabangsa dan sejahtera.

Katanya elemen teknologi diperluas menerusi pelbagai inisiatif pintar dan memperkasa data dalam agenda pembangunan negeri ke arah matlamat menuju negeri lestari manakala menerusi elemen keusahawanan, penekanan terhadap usaha membangun dan menyokong ekonomi rakyat tempatan agar lebih berdaya maju.

Sulaiman berkata di bawah elemen revolusi industri dan ekonomi, kerajaan negeri juga akan berusaha menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelaburan berkonsepkan agroindustri, bioteknologi, Industri 4.0, perusahaan industri digital dan industri perkhidmatan maritim.

“Bagi elemen antarabangsa pula, kita akan memperhebat industri pelancongan agar lebih berkualiti, unik serta bertaraf dunia manakala elemen sejahtera akan memberi penekanan pada aspek persekitaran negeri agar sentiasa bersih, indah, lestari, selamat, selesa agar taraf atau kualiti hidup rakyat dapat dipertingkat dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menggariskan 17 matlamat pembangunan lestari yang menjadi panduan ke arah negeri lestari antaranya sifar kemiskinan tegar dan kelaparan, kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan, pekerjaan dan pembangunan ekonomi, infrastruktur serta memelihara dan memulihara kawasan lautan dan daratan.

Dalam perkembangan lain, katanya sebanyak 7,553 penjawat awam negeri akan menerima bantuan khas RM500 seorang yang akan dibayar pada akhir Julai ini.

Bantuan khas ini diberikan selepas mengambil kira kedudukan atau keupayaan kewangan semasa kerajaan negeri dan bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban penjawat awam di Melaka sekali gus digunakan untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha,” katanya.-BERNAMA 

Tags
Show More
Back to top button
Close
Close