NasionalNegeri

Rakyat Perlis tanam 150,000 pokok hadiah Ulangtahun Tuanku Baginda Ke-80

Penanaman 150,000 pokok sebagai hadiah istimewa daripada rakyat kepada Tuanku Raja Perlis sempena Ulang Tahun Baginda Ke-80 telah dimasukkan dalam Malaysia Book of Records.

Pemangku Raja, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ia adalah sebagai simbolik tanda kepekaan rakyat terhadap pemeliharaan dan pengekalan khazanah negeri Perlis untuk generasi masa hadapan.

“‘Perlis Green Hour’ ini diharap akan dapat menggalakkan penyertaan semua pihak secara berterusan bukan sahaja jentera kerajaan malah swasta dan badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan tinggi (IPT) dan orang awam untuk menanam pokok dalam usaha menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara kita,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan ‘Perlis Green Hour’ sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2023 bersempena Ulangtahun Ke-80 Hari Keputeraan Raja Perlis di Dewan Serbaguna Bukit Ayer, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, Kangar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akahshah Khalil juga berkenan menyaksikan penyampaian sijil Malaysia Book of Records (MBR).

Ia disampaikan oleh wakil MBR, Lee Pooi Leng kepada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Teknikal), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd. Rahim Rani.

Sijil “The Largest Simultaneous Tree Planting In Malaysia” diberikan kepada Perlis kerana menanam 150, 354 pokok dalam masa sejam dari pukul 9 hingga 10 pagi.

Untuk rekod, cadangan ini dicetuskan oleh Pemangku Raja sendiri semasa Baginda bertitah pada perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa tahun 2022.

Sementara itu, Mohd Rahim dalam ucapannya berkata, rekod tanaman pokok di Perlis bagi tahun 2021 dan 2022 adalah sebanyak 696,294 pokok berbanding sasaran sebanyak 400,000 pokok untuk tempoh dua tahun.

Katanya, bagi pencapaian tahun 2023, sehingga 31 Mei 2023 Perlis telah merekodkan penanaman sebanyak 87,037 pokok iaitu bersamaan dengan 43.5 peratus daripada sasaran 200,000 pokok setahun. – SM

(Visited 61 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button