Ekonomi

Iskandar Investment Berhad lancar ‘Net Zero Carbon CBD (Central Business District)’

Pelancaran sempena Persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW)

Iskandar Investment Berhad (IIB) melancarkan ‘Net Zero Carbon CBD (Central Business District)’ sempena Persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW) yang dianjurkan sejak 13 November sehingga 17 November ini di Johor Bahru. Inisiatif ini membuktikan komitment IIB mengukuhkan inisiatif amalan ESG di rantau ini.

Net Zero Carbon CBD’ bertujuan mengekalkan kedudukan IIB sebagai peneraju bagi penubuhan pusat bandar Sifar Karbon Bersih pertama di rantau ASEAN.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim dalam kenyataannya berkata, menjelang 2030, IIB berhasrat mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM9 bilion.

Angka ini, katanya, dijangka akan meningkat sebanyak 13 peratus setiap 5 tahun.

Jumlah penduduk bagi CBD ini dijangka mencapai 65,000 menjelang 2030 berbanding jumlah penduduk keseluruhan lebih 600,000 yang bekerja dan tinggal di Iskandar Puteri, katanya.

“Kami menjangkakan pertumbuhan penduduk meningkat secara signifikan menjelang 2050, seterusnya menjana sosioekonomi yang lebih kukuh bagi penduduk Medini dan Iskandar Puteri.

‘‘Kami yakin usaha kami akan menghasilkan ‘multiplier effect’ bagi negeri Johor dan Malaysia secara keseluruhan,“ katanya.

Beliau berkata, kesannya pula akan menunjukkan peningkatan KDNK, kadar peluang pekerjaan, pertumbuhan pelaburan asing dan mempercepatkan matlamat Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi serta negara membangun.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang hadir pada  majlis yang sama berkata, Kerajaan Negeri menghormati usaha IIB melalui pengumuman ini.

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri komited sepenuhnya menyokong dan memudah cara pelaksanaan inisiatif ini sejajar dengan matlamat Johor mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 7% dengan nilai RM260 bilion menjelang 2030.

‘‘Harapan saya untuk melihat usaha transformasi ini berlaku kerana ia pasti akan meningkatkan daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini,” katanya dalam  kenyataan yang sama.

IIB akan disertai rakan pintar dalam usaha membina bandar mampan ini.

Kelmarin, IIB telah menandatangani memorandum persefahaman dan perjanjian usahasama bersama Maybank (Malayan Banking Berhad) dan MGTC (Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation).

“Usahasama terkini bersama Maybank adalah bagi menubuhkan ‘Net Zero Carbon CBD’  di Medini dengan mengintegrasikan sokongan peralihan mampan dan penyelesaian berasaskan alam (‘nature-based solution’ atau NbS) dalam pelbagai aspek di Medini.

“Kami mengalu-alukan institusi kewangan seperti Maybank untuk menjadi sebahagian ekosistem mampan kami dalam menyediakan pembiayaan yang diperlukan bagi masa depan mampan penduduk Medini,” kata Idzham pula.

Maybank adalah rakan institusi kewangan pertama IIB dalam perjalanan menuju ‘Net Zero Carbon CBD’ di Medini.

“Saya menyambut baik perkongsian strategik bersama IIB ini dengan pendekatan Maybank membawa bank sepenuhnya bagi menyediakan penyelesaian menyeluruh seperti pembiayaan mampan, termasuk penyelesaian berasaskan alam (NbS).

“Projek NbS ini akan menetapkan tanda aras bagi Malaysia dalam pemeliharaan tanah, menghasilkan kredit karbon dan mencipta pekerjaan hijau untuk komuniti tempatan.

“Penglibatan Maybank dalam usahasama ini menggerak matlamat strategik M25+ Maybank, seterusnya memberi penekanan komitmen kami untuk menyokong pelanggan kami di Malaysia dan rantau ASEAN dalam usaha dekarbonisasi atau nyah karbon dan menuju ke arah peralihan yang bersesuaian,” kata Dato’ Khairussaleh Ramli, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank.

NbS ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tindakan untuk melindungi, memelihara, memulih, mengguna dan mengurus secara mampan ekosistem terestrial, air tawar, pinggiran pantai dan marin semulajadi atau diubahsuai yang menangani cabaran sosial, ekonomi dan alam sekitar secara efektif dan adaptif serta pada masa yang sama menyediakan kesejahteraan manusia, perkhidmatan ekosistem, daya tahan, dan kelebihan biodiversiti.

Bagi IIB, NbS merujuk kepada penyediaan platform bagi syarikat yang berpusat di Medini untuk mendapatkan pensijilan dan pengiktirafan hijau.

Selain Maybank, IIB juga menandatangani perjanjian usahasama dengan MGTC untuk program yang melibatkan pekerjaan hijau, pertumbuhan ekonomi hijau, gaya hidup hijau, pembiayaan teknologi hijau, mitigasi perubahan iklim hingga strategi sifar bersih atau ‘net zero strategies.’

“Kami amat teruja memulakan usahasama strategik ini dengan IIB, termasuk menjadi panel penasihat utama dalam pembangunan mampan Medini Central Business District dan Iskandar Puteri. MGTC telah berperanan mendorong inisiatif Bandar Rendah Karbon tersebut, yang melibatkan kawasan bandar.

“Usahasama ini penting untuk mendorong pembangunan mampan dan mempromosikan ekonomi hijau, seterusnya membuka jalan untuk masa hadapan yang lebih berdaya tahan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, Ts Shamsul Bahar Mohd Nor.

MGTC adalah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang diberi mandat untuk meneraju negara dalam bidang Pertumbuhan Hijau, Mitigasi Perubahan Iklim, dan Gaya Hidup Hijau.

Usahasama dan perkongsian adalah kunci kepada inisiatif pembangunan ekosistem IIB yang menyediakan sokongan dalam lima bidang utama, iaitu pembiayaan, akses pasaran, program mentor, perkhidmatan perniagaan, dan akses kepada bakat. IIB sebelum ini telah memulakan sesi tahunan ‘Match@Medini’ dengan rakan usaha untuk menubuh platform dinamik bagi syarikat teknologi permulaan (tech start-up).

Pada Jun tahun ini, IIB telah menandatangani perjanjian usahasama dengan tujuh rakan kongsi berbeza dalam industri kenderaan elektrik mampan (EV), untuk mempromosi penggunaan EV dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di Iskandar Puteri.

Usahasama tersebut menyatukan pemain industri terkenal seperti Nano Malaysia Bhd, Handal Indah Sdn Bhd, Handal Green Mobility Sdn Bhd, Kumpool Sdn Bhd, Yinson Green Technologies (M) Sdn Bhd, GO TO U (M) Sdn Bhd, dan UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB).

EV mampan adalah sebahagian teras Mobiliti di IIB. IIB telah menggariskan lima vertikal strategik dalam perancangan kami untuk mencapai ‘carbon neutrality’ melalui lima teras iaitu Tenaga, Sisa, Air, Bangunan Hijau, dan Mobiliti sebagai inisiatif ESG utamanya.

“Kehadiran EV sedang berkembang pesat secara global. IIB bercadang untuk menyokong pertumbuhan penggunaan EV serta kenderaan autonomi atau ‘autonomous vehicles’ (AV), kenderaan bertenaga hidrogen, ‘zero-emission door-to-door travel’ dengan infrastruktur yang relevan dan kerjasama industri secara meluas. Lorong basikal dan pejalan kaki akan memainkan peranan penting dalam ikrar kami terhadap ESG,” jelas Dato’ Idzham.

Bagi Tenaga, fokus kami adalah kepada Tenaga Boleh Diperbaharui dengan penggunaan 50% Tenaga Solar menjelang 2030. Fokus kepada Pengurusan Sisa adalah selaras pengurangan sisa ke tapak pelupusan sebanyak 30% setiap hari per kapita menjelang 2030 dengan menggunakan Pengurusan Sisa Pintar (IoT), dan penyusunan sisa robotik.

Isu air telah meningkat sejak beberapa tahun yang lalu dan jumlah hujan telah berkurangan di Malaysia. IIB bercadang untuk menggunakan penjimatan air hujan (‘Rainwater Harvesting’ / RWH), mitigasi banjir, dan meter pintar untuk memantau aras air bagi menangani masalah air daripada menjadi lebih teruk dari masa ke semasa.

Bangunan hijau dijangka akan mengisi mercutanda Medini, terutama di CBD menjelang 2050. Sebagai pemaju utama Medini, IIB kini melakukan anjakan menerima pakai amalan Pembinaan Hijau dengan sasaran 90% Bangunan Bersijil Hijau menjelang 2040 sambil mematuhi program tenaga rendah. – SM

BACA Bil elektrik tinggi: Enam sekeluarga hampir mati terhidu karbon monoksida arang BBQ

BACA Kumpulan Sunway, UOB bekerjasama capai sasaran karbon sifar

 

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button