Ekonomi

Kumpulan Sunway, UOB bekerjasama capai sasaran karbon sifar

KUMPULAN Sunway (Sunway) dan UOB Malaysia telah memeterai perjanjian kerjasama yang bakal menyaksikan kedua-dua syarikat bekerjasama mencapai matlamat bersama dalam mencapai  pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050.

Memorandum Persefahaman (MoU) ini telah ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Sunway, Sarena Cheah dan Ketua Negara Perbankan Korporat dan Perbankan Borong UOB Malaysia, Anita Tang, dihadiri oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sunway, Chong Chang Choong, dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei.

Kerjasama ini akan menyaksikan Sunway dan UOB Malaysia memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk mengintegrasikan keperluan penyelesaian pembiayaan lestari, infrastruktur, dan teknologi dalam pelbagai bidang  perniagaan di bawah ekosistem Sunway, termasuk bidang peruncitan, hospitaliti, penjagaan kesihatan, hartanah, pembinaan, dan bahan binaan.

Ini termasuk program dan bengkel pembinaan kapasiti bersama untuk memudahkan dan meluaskan inisiatif kelestarian bagi penyewa dan pembekal bagi menyediakan penyelesaian pembiayaan lestari untuk memulakan pelaburan dalam infrastruktur yang lebih lestari, serta usaha menangani pelepasan karbon Skop 3.

Selain itu, hasil penyelidikan mengenai perkembangan dan amalan kelestarian terkini juga akan dikongsi antara kedua-dua syarikat dan digunapakai, bagi yang relevan.

“MoU ini adalah satu langkah penting bagi Sunway dan UOB Malaysia dalam perjalanan bersama kami ke arah masa depan rendah karbon.

“Usahasama kami selama dua dekad adalah bukti nyata terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh anggota sektor swasta dalam usaha memajukan agenda kelestarian bersama-sama,”kata Sarena.

Sejak 2015, Sunway telah mendukung sepenuhnya 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDGs) dan melangkah lebih jauh melalui pengenalan kerangka penetapan harga karbon dalaman pada tahun lalu untuk mendorong pencapaian sasaran pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050.

Sunway adalah syarikat pertama di Malaysia, dan antara yang terawal di Asia, yang memperkenalkan strategi pengurangan karbon yang kukuh dalam perniagaannya.

Demikian juga, sebagai antara yang terawal menerima ESG, UOB telah membangunkan kerangka dan penyelesaian pembiayaan lestari yang komprehensif dan terkemuka di pasaran untuk membantu syarikat-syarikat di ASEAN dalam usaha dekarbonisasi masing-masing, justeru saling maju ke arah sasaran pelepasan karbon
sifar.

“UOB berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sunway, sebuah organisasi yang berkongsi matlamat bersama untuk seiring mendorong cita-cita pelepasan karbon sifar kami.

“Kerjasama hari ini melambangkan kekuatan perpaduan dan semangat kerjasama yang diperlukan untuk menjayakan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

“Kami bangga dapat menyumbangkan penyelesaian pembiayaan yang lestari, kerangka kerja serta kepakaran kami dalam kerjasama ini untuk menyokong perniagaan pelbagai bidang di Sunway dan juga rakan-rakan ekosistemnya dalam perjalanan dekarbonisasi mereka,” Kata Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei.

Penyerahan di bawah MOU ini akan dilaksanakan secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang. Untuk memulakan perjalanan kelestarian mereka, rakan kongsi, penyewa, dan pembekal Sunway berpeluang  memanfaatkan instrumen kelestarian  dalam talian UOB Malaysia dalam beberapa bulan akan datang untuk merangka pelan tindakan mereka. – SM

(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button