NasionalUncategorized

Undang-undang keselamatan siber akan digubal segera – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara sepakat agar suatu Rang Undang-undang Keselamatan Siber digubal segera untuk memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia harus menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera Kerajaan dalam menangani ancaman keselamatan siber.

Katanya, perihal ini menjadi keutamaan bukan sahaja di dalam negara tetapi turut mencakup ehwal yang lebih besar di peringkat global kerana alam siber dan komunikasi digital meresapi pelbagai aspek dalam kehidupan.

“Saya menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan negara termasuk di dalam domain digital dan eko-sistem siber. Sehubungan itu, Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA, MKN) telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi tonggak untuk menggembleng usaha dan ikhtiar merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri di dalam hal ini.

“Entiti dalam eko-sistem siber akan terus mengekalkan kuasa yang membolehkan
mereka melaksanakan fungsi masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa yang sama, katanya, fungsi tugas beberapa entiti teras berkaitan keselamatan siber akan diselaraskan  bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan memaksimakan kecekapan.

Katanya, RUU Keselamatan Siber akan memberi NACSA, MKN punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber serta menambah baik keberkesanan fungsi-fungsi NACSA, MKN sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS). – SM

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button