Nasional

Golongan wanita wajib dilantik sebagai Pengarah di syarikat senaraian awam

KERAJAAN melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam. Cadangan ini dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

Menteri Kewangan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz  berkata demikian dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini.

Beliau berkata, kaum wanita jika diberi peluang dan ruang boleh menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara.

“Kita seharusnya memastikan kaum wanita dapat memenuhi potensi mereka dalam menyumbang kepada kesejahteraan kita bersama.

“Sumbangan wanita dalam ekonomi tidak pernah dinafikan malah perlu diperkukuh,” katanya.


Buat masa ini, beliau berkata, golongan wanita memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama.

Namun, masih terdapat 27 peratus atau 252 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang belum mempunyai komposisi pengarah wanita, ujar beliau.

Tengku Zafrul berkata, selain itu, Kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi melalui antaranya latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.

“Bagi membantu usahawan wanita yang turut terkesan akibat Covid-19 serta sebagai langkah meningkatkan kapasiti perniagaan mereka, sejumlah RM230 juta dana pembiayaan akan disediakan.

“Antaranya melalui Program DANANITA di bawah MARA dan TEKUNITA di bawah TEKUN,” jelasnya.

Tambah beliau, Kerajaan juga akan melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.

“Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian.

“5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal akan meraih manfaat daripada program ini. ,” kata Tengku Zafrul.

Bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat kaum ibu berkerjaya, kata Tengku Zafrul, sebanyak RM30 juta disediakan untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan-bangunan Kerajaan terutamanya di hospital dan universiti awam.

Kerajaan juga menggalakkan majikan sektor swasta untuk pengaturan kerja fleksibel serta menyediakan kemudahan taska di pejabat, tegas beliau.

“Untuk itu, selain insentif cukai, Kerajaan turut meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat 1 pejabat.

“Sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak mereka ketika waktu bekerja, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023,” katanya. – SM

(Visited 26 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button