Nasional

Amalan Baik Peraturan perniagaan perlukan reformasi – PM

Gesaan PM selepas indikator peraturan perniagaan di negara ini menunjukkan trend kemerosotan yang ketara

Amalan Baik Peraturan perniagaan memerlukan reformasi selepas indikator peraturan perniagaan di negara ini telah menunjukkan trend kemerosotan yang ketara dalam tempoh 10 tahun lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh tersebut kedudukan Malaysia menurun dari kedudukan ke-19 pada 2010 kepada kedudukan ke-47, tahun ini.

Tegasnya, kemerosotan indikator itu menuntut reformasi peraturan memandangkan peraturan perniagaan adalah salah satu petunjuk penting pencapaian kecekapan kerajaan.

Justeru katanya, pendekatan dasar dan peraturan berasaskan bukti (EBP) perlu digalakkan dalam usaha kerajaan mencapai sasaran berada antara sembilan ekonomi terbaik dunia untuk sub-indeks Kecekapan Kerajaan.

“Ini gesaan yang kuat untuk pembaharuan pengawalseliaan. Kita mesti lakukan sesuatu. Dalam mencapai sasaran ini, pendekatan EBP perlu digalakkan.


“EBP akan diterapkan dalam mekanisme perancangan, penilaian dan pemantauan supaya dapat menjamin pembaharuan struktural yang menyeluruh bagi kelestarian pertumbuhan produktiviti dan ekonomi,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan (GRP) secara maya pada Khamis.

Persidangan itu merupakan acara kemuncak bagi Bulan GRP yang telah bermula pada 25 Oktober 2021 hingga hari ini.

Ismail Sabri berkata, pendekatan Keseluruhan Kerajaan atau “Whole-of-Government Approach” yang menitikberatkan kerjasama rapat dan bersepadu semua kementerian, agensi, dan jabatan menjadi asas pelaksanaan GRP.

“Bukan itu sahaja, penglibatan pihak swasta, industri dan komuniti perniagaan di dalam GRP juga akan ditingkatkan.

“Prinsip, elemen, dan proses dalam kaedah GRP mesti diterima pakai oleh semua kementerian dan agensi pengawal selia dalam penggubalan dan semakan dasar serta peraturan,” katanya.

Menurut beliau, elemen GRP antaranya Analisis Impak Peraturan, Analisis Kos Faedah dan Penilaian Notifikasi Peraturan mesti dilaksanakan dengan teliti selain data dan maklumat yang terangkum harus membuktikan bahawa tindakan peraturan benar-benar membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Turut menyertai persidangan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali; Pengerusi MPC, Ram Ganesan Karthigasu dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman.-SM

(Visited 17 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button