Nasional

MPMMK cadang had usia 50 tahun bagi jawatan wakil rakyat dan penjawat awam

Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK) mencadangkan supaya dihadkan tempoh jawatan wakil rakyat dan penjawat awam kepada usia 50 tahun.

Presidennya, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, langkah tersebut merupakan satu usaha positif yang mana sejajar dengan amalan semak dan imbang terhadap percaturan politik serta perkembangan pentadbiran negara seperti di kebanyakan negara maju.

Jelasnya, jika seorang wakil rakyat atau penjawat awam memegang jawatan terlalu lama, ia boleh mendedahkan dirinya kepada penyelewengan dan salah guna kuasa selain memberi kesan kepada peningkatan statistik pengganguran di negara ini.

“Kajian saintifik menunjukkan apabila seseorang itu telah lanjut usia 50 tahun, gejala seperti daya tahan badan sudah berkurang, tidak kekal aktif, emosi juga sering berubah dan tidak lagi produktif. Bagaimana negara mahu bersaing dari pelbagai aspek?

“Menerusi Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik pada usia 18 tahun, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya boleh diluluskan Dewan Rakyat kepada 18 tahun kenapa tidak boleh menghadkan tempoh perkhidmatan sedia ada? Apa lagi alasannya?

“Selain itu, ia membuka peluang untuk melahirkan lebih ramai pemimpin seiring zaman kerana sehingga hari ini belum ada had penggal tempoh perkhidmatan seseorang wakil rakyat, manakala bagi penjawat awam telah dimuktamad umur persaraan sehingga 60 tahun. Dasar ini saya lihat suatu yang tidak ada kewajarannya dalam keadaan ramai golongan muda termasuk siswazah menganggur ketika ini,” katanya.

Syed Mohammad Faiz berkata, langkah mewujudkan had usia itu juga bertujuan menambah baik polisi negara kerana tempoh perkhidmatan sehingga usia 50 tahun sudah memadai untuk seseorang merencanakan pelbagai perancangan kemajuan dan pembangunan negara.

“Cara ini sahaja untuk memberi perlindungan dan hak kepada warga muda sebagai tiang seri dan pelapis untuk menyumbang kepada pembangunan, berkhidmat untuk negara selain meningkatkan tahap ekonomi rakyat.

“Apa dalam negara kita tidak ada yang layak? Sekiranya mereka bermula dari awal usia pastinya memberi kelebihan dalam perkhidmatan kerana mereka akan bekerja dengan lebih cepat kerana sedar yang tiada masa lagi untuk bertangguh melakukan kerja, selain itu akan menyelesaikan terus masalah malas bekerja.

“Ini juga untuk mewujudkan budaya kebertanggungjawaban setiap warga muda untuk mempersiapkan diri dalam mengambil peluang untuk mendepani cabaran bersama mengurus dan membangunkan negara tercinta ini,” katanya.

Beliau berharap, cadangan itu dapat diterima khususnya dalam kalangan wakil rakyat dan penjawat awam yang usianya telah lebih 50 tahun.

“Sudah menjadi lumrah, apabila sudah mempunyai pangkat dan jawatan sukar untuk seseorang melepaskannya, sebab itu perlu diwujudkan satu peraturan yang menghadkan tempoh penjawatan untuk wakil rakyat dan penjawat awam.

“Negara maju sudah lama melaksanakan dasar ini, jadi MPMMK berpendapat sudah sampai masanya Malaysia juga berbuat demikian dalam usaha kita untuk menuju negara maju,” jelasnya.

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button