Nasional

RM941.43j telah disalurkan sebagai elaun khas barisan hadapan

SEBANYAK RM941.43 juta sudah disalurkan oleh kerajaan untuk elaun khas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jumlah itu adalah sehingga 27 Ogos 2021 berdasarkan kepada 2,580,713 tuntutan.

“Selain doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain, elaun ini turut dipanjangkan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) Ke-67, semalam.

Selain itu kata Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan baru-baru ini menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) sebagai satu usaha untuk menambahbaik ketelusan dan keterangkuman di dalam proses penyediaan belanjawan tahunan dan juga sebagai pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang diterbitkan pada 31 Ogos 2021.

Katanya, empat bentuk KKA yang berbeza akan diterbitkan bagi mendapatkan maklum balas serta input kepada perancangan Belanjawan 2022.


Katanya, ia merangkumi penambahbaikan dasar perolehan kerajaan berkaitan barangan atau perkhidmatan tempatan dan Bumiputera yang akan menggariskan perlindungan dan pembangunan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

“Selain itu KKA akan menerbitkan penambahbaikan Program Bantuan Tunai kepada rakyat, terutama dalam situasi yang mencabar akibat penularan COVID-19 serta Kajian Insentif Cukai, bagi memastikan insentif cukai kepada pelabur kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan, meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara,” katanya.

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button