Nasional

MoU UPSI, CXS Analytics Sdn. Bhd Tingkat Kebolehpasaran

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan CXS Analytics Sdn. Bhd. (CXS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini bagi menjalin kerjasama dalam meningkatkan aspek kebolehpasaran graduan.

Majlis MoU yang diadakan di Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Kampus Sultan Azlan Shah UPSI menyaksikan UPSI diwakili Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan manakala CXS diwakili, Pengarah Eksekutif, Jonathan Jaya Sudhir.

Jonathan dalam ucapannya berkata CXS adalah syarikat yang bekerja untuk TalentCorp iaitu anak syarikat Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam membina MyNext Portal.

Beliau berkata MyNext Portal menjadi jambatan antara pendidikan dan kebolehpasaran graduan dengan menghimpunkan pelbagai instrument misalnya penilaian personaliti, minat, keupayaan kognitif, kepimpinan, gaya dan bakat.

Md Amin (tiga dari kiri) bertukar dokumen dengan Jonathan selepas menandatangani MoU di Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah.

Platform ini, katanya, menguruskan maklumat yang boleh digunakan oleh mahasiswa, universiti dan majikan dalam penentuan kerjaya pada masa hadapan.

Menurut beliau projek CXS akan memperkukuh industri `profiling’ yang mengumpulkan semua maklumat berkaitan mahasiswa melangkaui maklumat asas diri mahasiswa semata-mata.

Sementara itu, Md Amin berkata UPSI menyokong projek CXS dan TalentCorp menerusi penyediaan instrumen-instrument yang diperlukan oleh CXS dalam MyNext Portal.

Dengan termeterainya MoU ini, UPSI menjangkakan lebih banyak projek perundingan berkaitan instrumen pengukuran dan penilaian yang akan dilaksanakan dengan CXS.

Beliau yakin kerjasama UPSI dan CXS ini akan dapat memastikan bahawa MyNext Portal kendalian TalentCorp terus menggunakan instrumen yang sah dan boleh dipercayai.

Menurut beliau, UPSI yang mempunyai sembilan fakulti dan pusat-pusat kecemerlangan berpotensi menyediakan pelbagai kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh industri seperti CXS. Selain itu, UPSI juga kemudahan seperti penginapan untuk menjalankan program latihan dan seminar.

Projek perundingan dengan CXS yang diketuai oleh Dr. Hazalizah Hamzah dari Jabatan Psikologi Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), berjaya menterjemah dua buah instrument iaitu International Personality Item Pool (IPIP) dan instrument untuk mengukur minat kerjaya iaitu RIASEC (Realistic, Investigative, Artistic, Social, Enterprising, and Conventional) dengan menggunakan teknik back-to-back translation.

Hazalizah berkata bagi projek kedua, pasukan UPSI sedang membina CXS Cognitive Ability Assessment yang dibuat dalam dwi bahasa .

Katanya, sejumlah 10 set Penilaian Keupayaan Kognitif dalam Bahasa Melayu dan 10 set Cognitive Ability Assessment dalam Bahasa Inggeris yang setiap satu set mengandungi 50 item.

Jumlah keseluruhan item yang dibina ialah 1000 item dan dalam CXS Cognitive Ability Assessment terdapat empat domain keupayaan iaitu pengetahuan kuantitatif [quantitative knowledge], pengetahuan kefahaman [comprehension knowledge], penaakulan visual [visual reasoning] dan penaakulan bendalir [fluid reasoning].

Setakat ini jumlah keseluruhan projek perundingan dengan CXS ialah RM 110,690 membabitkan Dr. Hazalizah Hamzah, Dr. Fatanah Ramlee, Dr. Priyalatha a/p Govindasamy dan Dr. Asma Perveen dari Jabatan Psikologi FPM manakala Dr. Siti Shuhaida Shukor dari Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Majlis MoU yang disaksikan oleh Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman Ketua Pegawai Eksekutif CXS, Asyraf Wajdi Mohtar turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Norkhalid Salimin; Dekan Fakulti Pembangunan Manusia , Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim serta Dekan Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) , Prof Madya Dr Mohd Zafwan Idris. -SM

Baca juga : Kolej Harun Aminurrashid UPSI imarah budaya inovasi

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button