fbpx
Ekonomi

Airbus Helicopters lakukan e-penyerahan pertama di Asia Pasifik

H130 helikopter pertama Smart Cakrawala Aviation khas untuk pengangkutan penumpang, kargo, tinjauan udara & rondaan kebakaran

SMART Cakrawala Aviation dari Indonesia muncul sebagai pelanggan pertama Airbus Helicopters di Asia Pasifik yang menerima penyerahan pesawat melalui kaedah yang dimudahkan oleh proses penyerahan elektronik aturan khusus bagi mematuhi peraturan kesihatan dan keselamatan Covid-19.

Ketua Airbus Helicopters bagi Asia Pasifik, Vincent Dubrule berkata, pengendali perkhidmatan udara komersial berpangkalan di Jakarta itu secara rasmi menerima H130, helikopter tunggal perantara baharu di pusat penyerahan serantau Airbus Helicopters di Subang.

Beliau berkata, ia dilakukan dengan semua keperluan proses serah terima lazim dipenuhi tanpa memerlukan pertemuan fizikal atau perjalanan rentas sempadan.

“Walaupun sedang menghadapi cabaran Covid-19, amat penting untuk kami terus mengekalkan penyerahan berjadual kepada pelanggan kami.


“Kami gembira mempunyai Smart Cakrawala Aviation bukan hanya sebagai pelanggan baharu malah pengendali pertama di Asia Pasifik yang menerima helikopter mereka melalui proses penyerahan secara elektronik inovatif.

“Kami berterima kasih atas kepercayaan dan akan terus menyokong operasi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi proses itu, pemeriksaan terperinci dan ujian penerbangan dilakukan oleh kakitangan Airbus yang diberi kuasa menggantikan kakitangan pelanggan tersebut.

Ini merangkumi ujian penerbangan, foto dan video pemeriksaan helikopter, pemeriksaan objek longgar, penyahjangkitan ke atas semua item serta pengesahan dokumen pesawat.

Dubrule berkata, majlis penyerahan itu berlangsung selama dua hari melalui persidangan video bersama wakil Airbus Helicopters dan Smart Cakrawala Aviation yang membolehkan pemindahan hak milik secara rasmi.

Helikopter akan dihantar ke Indonesia dalam  tempoh dua minggu akan datang kepada pelanggan di Jakarta.

H130 akan menjadi helikopter pertama Smart Cakrawala Aviation, yang dikhaskan untuk pengangkutan penumpang dan kargo, tinjauan udara dan rondaan kebakaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Smart Cakrawala Aviation, Pongky Majaya berkata, ia merupakan penyerahan secara elektronik yang berjaya dan mereka menghargai kemampuan Airbus untuk melakukan penyerahan secara dalam talian.

“Proses ini mempercepatkan kesediaan operasi syarikat dan H130 meningkatkan kemampuan misi kami. Kami gembira dengan jaminan Airbus dan tetap yakin dengan kerjasama baharu ini,” katanya. – SM

 

Show More

Related Articles

Back to top button