Politik

Shafie terkejut Guan Eng tak dibenar masuk Sabah

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terkejut dengan berita bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang kini berhadapan tuduhan rasuah, tidak dibenarkan masuk ke Sabah malam tadi.

Jelas Presiden Warisan itu, Sabah tidak pernah mengeluarkan arahan sekatan terhadap mana-mana individu yang berhadapan pertuduhan berkaitan kes rasuah daripada masuk ke negeri itu.

“Saya sendiri terkejut dengan situasi yang dialami Lim Guan Eng dan sudah bertanyakan perkara ini kepada Pengarah Imigresen.

“Difahamkan beliau adalah antara individu yang sudah dimasukkan dalam senarai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Perkara yang dinyatakan ini adalah aturan yang dibuat pihak di Kuala Lumpur tetapi kebiasaannya kita ada peraturan Imigresen sendiri,” kata Shafie ketika ditanya oleh media hari ini.

Jelas beliau, Kerajaan Persekutuan hanya boleh menentukan peraturan untuk mana-mana individu yang tidak menjelaskan cukai atau ada kes SPRM agar tidak boleh ke luar negara.

Guan Eng dalam sosial medianya mendakwa, beliau telah ditahan oleh pegawai imigresen daripada memasuki negeri itu malam tadi.

Ahli Parlimen Bagan itu menerusi Twitter dan Facebooknya menyatakan beliau sudah melepasi pemeriksaan Imigresen dan diberikan Pas Lawatan Sosial pada pukul 11.54 malam.

Bagaimanapun ketika hendak masuk ke dalam kereta, beliau telah didatangi seorang Pegawai Imigresen Kanan dan memintanya ke pejabat Imigresen di KKIA. Selepas setengah jam baharulah beliau dibenarkan masuk ke Sabah.

“Selepas menunggu 20 minit, saya tanya apa masalahnya? Mereka mendakwa bahawa SPRM telah meletakkan halangan untuk saya masuk ke Sabah. Ape ni? Bukankah ini kuasa kerajaan negeri Sabah?” kata Guan Eng di media sosialnya.

Sementara itu, Shafie menegaskan  tiada individu disekat memasuki negeri itu sejak beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri (hanya) akan mengenakan sekatan masuk terhadap mana-mana pihak yang didapati boleh memecah belah dan mewujudkan pertelingkahan,” katanya.-SM

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button