Mahkamahpilihan

Ahli Perniagaan nafi tipu Ab. Rauf jual Toyota Alphard

Seorang pengasas perkhidmatan teksi premium, Big Blue Taxi hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas dua pertuduhan membabitkan pembelian kereta mewah dan menggunakan gelaran Datuk palsu membabitkan kerugian mencecah RM95,000.

Tertuduh, Shamsubahrin Ismail, 57, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menipu bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dengan memperdayakan beliau untuk membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard model tahun 2019 berharga RM180,000 dengan nombor pendaftaran khas VVP 7.

Tertuduh telah mendorong hingga menyakinkan mangsa untuk menyerahkan kepada tertuduh wang tunai sebanyak RM95,000.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang setahun sehingga 10 tahun, sebat dan denda.


Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul 1981 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 enakmen sama kerana menggunakan gelaran dan kehormatan sebagai Datuk tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri bagi tujuan keuntungan peribadi).

Tertuduh boleh didenda minimum RM250,000 sehingga RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan terebut telah dilakukan tertuduh di Pejabat Speaker DUN Melaka, Aras 2, Blok Laksamana Seri Negeri, Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Disember 2021.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat.

Tertuduh diwakili peguam, Loh Chon Mee bagaimanapun mengemukakan rayuan memohon jaminan rendah kerana dia sedang menjalani rawatan kemoterapi akibat kanser kolon dan dialisis.

Selain itu Shamsubahrin turut berdepan empat kes mahkamah di Kuala Lumpur dan terpaksa membayar wang ikat jamin sebanyak RM110,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan melapor diri di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 7 Februai bagi sebutan semula kes tersebut. – SM

(Visited 75 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button