Mahkamah

Isa Samad diperintah bela diri 9 pertuduhan rasuah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB), enam tahun lalu.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bagaimanapun melepaskan dan membebaskan Mohd. Isa, 71,  daripada satu pertuduhan pecah amanah (CBT) berhubung pembelian hotel itu bagi RM160 juta tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Mohd. Nazlan berkata, terdapat keterangan berwibawa terhadap Mohd. Isa dalam sembilan pertuduhan itu.

“Kes prima facie telah dibuktikan. Dengan ini saya memerintahkan Tan Sri Isa membela diri terhadap sembilan pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Hakim.

Mohd. Isa menghadapi sembilan pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd., menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB  bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh Mohd. Isa di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai, 2014 dan 11 Disember, 2015.

Setiap pertuduhan rasuah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000; mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan CBT pula,  Mohd. Isa sebagai pengarah FICSB dan diamanahkan dengan dana syarikat dituduh telah melakukan CBT dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, bagi RM160 juta tanpa kelulusan daripada Lembaga Pengarah Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan itu Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC pada 29  April, 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun  Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd. Isa diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin manakala  pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz .

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 14 Jan tahun ini selepas perbicaraan berlangsung 15 hari dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan. – BERNAMA

 

 

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button