MahkamahNasional

Ahli Parlimen PAS disaman Anwar perlu fail pembelaan 6 Feb

AHLI Parlimen PAS Kuala Terengganu (KT), Ahmad Amzad Hashim diarah memfailkan pembelaan sebelum atau pada 6 Februari ini.

Ahmad Amzad berdepan saman daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa membuat kenyataan fitnah dengan menuduh Presiden PKR itu berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Peguam Anwar, SN Nair berkata, tarikh itu diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang itu selepas pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Nordiana Abd Aziz pada Ahad lalu.

Defendan diwakili peguam Saiffuddin Othman.

Nair yang dibantu Jaden Phoon dan Wong Guo Jin berkata, Nordiana juga menetapkan pengurusan kes seterusnya saman itu juga pada 6 Februari ini.


Dalam pernyataan tuntutan difailkan 22 Disember lalu, Anwar mendakwa pada 7 Disember tahun lepas, defendan membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Dakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, kenyataan terbabit diterbitkan semula di aplikasi TikTok bawah nama @nelly3868 pada hari sama (7 Disember) dan mendapat tontonan melebihi 4,980 kali, 62 komen, 116 butang “like”, 18 butang “favourite” dan 50 kali perkongsian serta boleh diakses sehingga kini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kenyataan fitnah itu dipetik dan diterbitkan oleh sebuah portal berita iaitu Malaysiakini pada keesokannya (8 Disember) menerusi artikel bertajuk “S’gor economic adviser job: Anwar seeks public apology from MP”.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau (Anwar) tidak boleh dipercayai serta tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada kerajaan Selangor sebagai penasihat ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai penasihat ekonomi serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Anwar mendakwa kenyataan fitnah itu palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi di peringkat negara dan antarabangsa kerana beliau menentang rasuah. – FMT – SM

(Visited 58 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button