Nasional

Raja Muda Perlis titah masyarakat berhati-hati dengan tipu daya siber

Antara kaedah dan helah yang paling kerap dilaksanakan oleh para penjenayah online bagi memperdayakan mangsanya iaitu orang awam adalah dengan cara ‘scam’, ‘phishing’, ‘spoofing’ serta penjualan barang yang tidak wujud.

Demikian menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengenai titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan kempen kesedaran bersempena dengan ‘Hari Keselamatan Siber Sedunia’ atau dalam Bahasa Inggerisnya ‘Safer Internet Day’ yang disambut pada 7 Februari setiap tahun peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada jumaat petang di Masjid Al Mursyid Guring, Pekan Pauh, Arau.

Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Jenayah Online’ seringkali berpunca daripada beberapa faktor seperti peningkatan jumlah penduduk, peningkatan dan kemudahan capaian internet, kekurangan kesedaran tentang jenayah online itu sendiri, tiadanya kawalan keselamatan siber serta sifat tamak. Ianya boleh dikategorikan sama ada menjadi mangsa yang mengalami kerugian atau orang tengah yang dipergunakan oleh sindiket.

Untuk rekod, ‘Jenayah Online’ menurut Wikipedia adalah, “Satu perlakuan jenayah yang dilakukan menggunakan peranti komputer seperti desktop, laptop, PC, tablet dan smart phone sama ada mempunyai akses internet atau tidak dengan niat curang yang boleh menyebabkan kerugian atau menjatuhkan suatu pihak yang lain”.

Antara kategori ‘Jenayah Online’ terhadap harta benda pula adalah seperti curi samada dalam bentuk wang, perkhidmatan ataupun maklumat, penipuan, pemalsuan, khianat seperti virus, vandalisme dan juga pencerobohan.

Bersempena program yang disekalikan dengan aktiviti ‘Hijrah Minda MAIPs’ tersebut juga, amil kawasan berkenaan iaitu Ku Mat Isa Ku Ismail menerima bagi pihak seramai 9 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid tersebut sumbangan agihan zakat MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan dihadiri sama oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button