MahkamahNasional

Guan Eng bakal berhadapan dua pertuduhan baharu

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng bakal behadapan dua  pertuduhan baharu berkaitan skandal Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pertuduhan mengenai penyalahgunaan harta itu akan dibacakan di hadapannya di Mahkamah Sesyen Butterworth, Jumaat ini.

Beliau dipercayai menyalahgunakan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta.

“Pihak pendakwaan telah menyerahkan notis kepada tertuduh pagi ini, untuk makluman mengenai dua pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu.”

Kata Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin semasa sebutan semula kes rasuah itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.


Jika sabit kesalahan, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

Susulan itu, Bernama melaporkan peguamnya Gobind Singh Deo mengesahkan anak guamnya menerima notis tersebut, namun pihaknya menyatakan masih belum melihat dua pertuduhan baharu itu.

Terdahulu, Lim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos, atas satu pertuduhan meminta suapan.

Pertuduhan tersebut berkaitan dengan pelantikan sebuah syarikat melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kemudian di Mahkamah Butterworth, pada 10 Ogos Guan Eng turut dituduh menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dikatakan sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli iaitu Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Pada 11 Ogos pula, Guan Eng didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Tuduhan tersebut berkaitan rasuah wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan itu mengaku tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut. – SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button