Nasional

“Saya diberitahu Thomas bersetuju secara prinsip terhadap DNAA Riza Aziz” – AG

PEGUAM Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun berkata beliau dinasihat bahawa bekas AG Tan Sri  Tommy Thomas telah bersetuju kepada cadangan yang secara prinsipnya bagi penyelesaian terhadap pertuduhan pengubahan wang haram Riza Shahriz Abdul Aziz.

Idrus dalam kenyataan media hari ini berkata, keputusan bagi pendakwa memohon kepada Mahkamah Sesyen pada 14 Mei bagi pihak Riza diberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan juga dibuat selepas perbincangan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan peguam Riza.

“Saya telah dinasihati bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, selepas meneliti surat representasi, melalui satu minit bertarikh 19 Nov, 2019 telah memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, dan turut menyatakan berdasarkan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi itu.

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Datuk Seri Gopal Sri Ram, setelah berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangan-cadangan yang dinyatakan di dalam representasi itu diterima oleh SPRM. Saya juga telah dinasihatkan bahawa Tan Sri Tommy Thomas telah secara prinsip bersetuju dengan cadangan itu. Ini telah membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisme yang perlu diambil, diadakan,” katanya dipetik dari BERNAMA.

RIZABeliau berkata, pada 11 Mac, 2020, pihak Peguam Cara telah menghantar satu lagi surat representasi mengukuhkan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini dan memberi aku janji bahawa, jika Riza Aziz gagal untuk mematuhi mana-mana terma dan syarat yang dinyatakan, kelima-lima pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya dikekalkan.

Thomas semalam sekali lagi menafikan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz, yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Merujuk kenyataan akhbar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 Mei yang menyebut antara lain bahawa “persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas,” beliau berkata ia adalah satu pembohongan.

Thomas menjelaskan bahawa satu-satunya keputusan yang dibuatnya dalam kes itu selain mendakwa Riza ialah melantik Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan.

“Selepas itu saya menyerahkan tugas untuk mengendalikan kes itu kepada beliau dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dari Jabatan Peguam Negara (AGC) yang membantu Sri Ram,” katanya. – SM

(Visited 252 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button